KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahu peranan Majlis Media Malaysia (MMM) diperkukuhkan bagi memastikan kebebasan media terus terjamin, menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi, yang juga Jurucakap Kerajaan Madani, berkata perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri melalui panggilan telefon tengah malam tadi.
“Perdana Menteri membuat panggilan kepada saya tengah malam tadi untuk membincangkan perkara ini dan apa yang beliau lihat adalah keperluan untuk memantapkan Majlis Media Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Zchwantech Group dan Magna AI, di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri menegaskan kerajaan bersedia memberikan ruang kebebasan media yang lebih terbuka, termasuk mempertimbangkan kajian semula undang-undang berkaitan, selaras dengan tahap kematangan negara.
Fahmi berkata kerajaan juga menyediakan Dana Inovasi Media untuk membantu syarikat dan organisasi media menghadapi perubahan mendadak, seperti kehilangan perbelanjaan pengiklanan serta isu produktiviti pekerja akibat cabaran teknologi.
“Beberapa perkara akan disusuli melalui perbincangan lanjut bersama MMM, memandangkan badan bebas itu dilihat paling sesuai mewakili industri dalam membincangkan hala tuju serta keperluan sebenar pengamal media di negara ini,” katanya.
Usaha kini sedang dijalankan untuk menyediakan sebuah pejabat bagi MMM sebagai langkah permulaan sebelum badan itu meneliti dan memperhalusi peranan serta perkara berkaitan secara lebih menyeluruh.
Selain itu, Fahmi berkata antara kebimbangan yang turut dibangkitkan ialah aspek etika kewartawanan, terutamanya apabila terdapat perbezaan ketara antara tajuk utama dan kandungan berita yang dilaporkan.
“Saya percaya rakan-rakan media cakna terhadap isu tersebut, dan dalam beberapa keadaan, laporan yang dihasilkan di lapangan berbeza apabila melalui proses penyuntingan di peringkat ketua pengarang. Mungkin di situ kita boleh bantu untuk tambah baik,” katanya.
MMM merupakan badan bebas yang ditubuhkan sebagai mekanisme kawal selia kendiri industri media negara dan berperanan mempromosikan etika kewartawanan serta kebebasan media. Penubuhannya selari dengan Akta Majlis Media Malaysia (MMM) yang mula berkuat kuasa pada 14 Jun 2025.

