KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon, Dafi tampil berani membuka sisi paling rapuh dalam hidupnya apabila menterjemahkan episod gelap yang pernah dilalui menerusi pementasan teater Projek Tentang Rasa, yang kini dipentaskan di Damansara Performing Arts Centre (DPAC).
Dafi atau nama lengkapnya, Gadaffi Ismail Sabri, 38, berkata pementasan itu menjadi medium buat dirinya meluahkan pengalaman sebenar ketika berada di titik terendah dalam kehidupan, termasuk bergelut dengan emosi sehingga mengalami penurunan berat badan mendadak.
“Monolog Aku dalam teater ini adalah pengalaman sebenar saya. Ada masa kita rasa kuat, tapi sebenarnya kita hanya menafikan apa yang kita rasa. Saya sering dianggap hidup selesa, lahir atas dulang emas, tetapi hakikatnya setiap insan, tidak kira latar belakang, tetap berdepan dengan masalah masing-masing.
“Apabila berasakan kehadiran saya membebankan keluarga, tiada pencapaian dan sering rasa dipandang sebelah mata, isi hati yang lama terpendam itu akhirnya memakan diri,” katanya ketika pratonton Projek Tentang Rasa, semalam.
Menurut anak kepada bekas Perdana Menteri kesembilan itu, pementasan berkenaan turut menjadi peringatan buat dirinya untuk lebih menghargai kehidupan selain mengakui sokongan keluarga dan insan sekeliling menjadi faktor utama kebangkitannya.
“Menerusi teater ini, saya menzahirkan impak tekanan itu melalui perlambangan. Saya bersyukur masih ingat Tuhan dan tidak sampai ke tahap melakukan perkara di luar kawalan. Keluarga serta orang sekeliling yang supportive membantu saya bangkit,” ujarnya.
Mengulas babak menelan pil dalam pementasan tersebut, Dafi berharap ia tidak disalah tafsir kerana diselitkan bagi menggambarkan kesan sekiranya tekanan perasaan dipendam tanpa mendapatkan bantuan sewajarnya.
“Titik terendah hidup saya bukan sampai terfikir untuk membunuh diri, tetapi saya mula mempersoalkan kewujudan saya di dunia ini. Saya rasa seolah-olah tidak menyumbang kepada sesiapa, sama ada dalam keluarga atau industri seni.
“Ketika itu, saya sering membandingkan pencapaian diri dengan adik-beradik sehingga timbul perasaan kesal kerana tidak bersyukur walaupun diberi peluang lebih awal dalam kerjaya. Itu kesilapan saya,” katanya.
Projek Tentang Rasa dibahagikan kepada empat kisah berbeza iaitu Posessif, Paling Comel, Monolog Aku dan Gugurnya Bunga Rindu, yang masing-masing membawa sudut pandang emosi berbeza merangkumi cinta, kehilangan, kerinduan, ketakutan serta kejujuran terhadap diri sendiri.
Pementasan yang berlangsung bermula 6 Februari hingga esok itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Adriana Adnan, Zaid Erakad, Syazwan Razak, Maryam Tarmizi, Amir Mirza dan Syawal Azrai.

