MELAKA – Terengganu FC (TFC) meneruskan momentum cemerlang apabila menewaskan Melaka FC (MFC) 2-1 dalam saingan Liga Super Malaysia di Stadium Hang Jebat malam tadi.
Skuad pelawat lebih menguasai permainan sejak awal perlawanan dan hampir membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi percubaan Gervane Kastaneer, namun tendangannya berjaya diselamatkan penjaga gol MFC, Samuel Somerville.
Lima minit kemudian, TFC sekali lagi menguji kubu tuan rumah menerusi tandukan Baqiuddin Shamsudin hasil hantaran Akhyar Rashid, tetapi Samuel bertindak cemerlang menafikan percubaan tersebut.
Penguasaan berterusan TFC menyaksikan mereka terus memburu gol dan pada minit ke-20, Gervane sekali lagi mempunyai peluang keemasan, namun percubaannya sekali lagi dinafikan Samuel yang tampil dengan aksi konsisten di bawah palang gol.
Serangan bertali arus akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-35 apabila Akhyar berjaya menolak masuk hantaran lintang Gervane untuk meletakkan TFC di hadapan 1-0.
Tersentak dengan jaringan itu, ketua jurulatih MFC, Elavarasan, melakukan pertukaran dengan membawa masuk pemain berpengalaman Mahalli Jasuli bagi memperkemaskan jentera serangan.
Percaturan itu hampir membuahkan hasil apabila Mahalli melakukan percubaan yang ditampan pertahanan sebelum bola singgah ke kaki Dino Kalesic yang melepaskan rembatan menarik dari luar kotak penalti untuk menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-73.
Namun kegembiraan tuan rumah tidak bertahan lama apabila Baqiuddin kembali meletakkan TFC di depan pada minit ke-76 menerusi rembatan kencang ke penjuru kanan gawang selepas menerima hantaran Gervane, sekali gus menewaskan Samuel buat kali kedua.
Keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat meskipun kedua-dua pasukan terus mencipta peluang. Harapan penyokong setia tuan rumah untuk menyaksikan kebangkitan dramatik tidak kesampaian apabila MFC terpaksa akur tewas di laman sendiri.

