KUALA LUMPUR – Kumpulan AFFIN dan MBSB Bank Berhad (“MBSB Bank”) mengukuhkan lagi peranan mereka dalam pembangunan digital negara dengan komitmen pembiayaan sindikasi berjumlah RM3.8 bilion untuk menyokong pengambilalihan pegangan kawalan melebihi 50 peratus dalam U Mobile Sdn Bhd oleh Mawar Setia Sdn Bhd.
Di bawah pengaturan ini, Kumpulan AFFIN menyumbang RM2.4 bilion manakala MBSB Bank RM1.4 bilion, dengan sebahagian dana digunakan bagi pembelian saham daripada Straits Mobile Investments Pte Ltd.
Pengambilalihan ini dijangka meningkatkan pemilikan tempatan dalam U Mobile serta memperkukuh penyertaan domestik dalam pengendali utama perkhidmatan mudah alih dan jalur lebar negara.
Mawar Setia, syarikat pegangan pelaburan Malaysia yang dikawal oleh Tan Sri Dato’ Seri Vincent Tan Chee Yioun dan YAM Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim, akan memimpin fasa pembangunan seterusnya U Mobile, termasuk pelaksanaan rangkaian 5G kedua negara melalui kerjasama strategik dengan Huawei Technologies Co Ltd dan ZTE Corporation.
Antara pencapaian terkini syarikat itu adalah liputan ULTRA5G di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur serta pelancaran eSIM Pelancong ULTRA5G 24 jam dengan tawaran data 100GB.
“Fasa pertumbuhan digital negara bergantung kepada kemampuan pelaksanaan infrastruktur yang berskala dan boleh dipercayai. Pengambilalihan ini bukan sahaja meningkatkan penyertaan Malaysia dalam aset strategik tetapi juga mempercepat pelaksanaan rangkaian 5G di seluruh negara” kata Tan Sri Dato’ Seri Vincent Tan.
“Kami berbesar hati menjadi pembiaya terbesar dengan komitmen RM2.4 bilion bagi memperkukuh kapasiti infrastruktur digital negara dan menyokong pertumbuhan U Mobile melalui penyertaan domestik yang lebih mendalam” ujar Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef, berkata komitmen RM1.4 bilion menyokong perubahan pegangan kawalan yang penting serta aspirasi digital Malaysia, memperluas capaian digital untuk meningkatkan produktiviti, daya saing dan keterangkuman merentas isi rumah, PKS dan industri.

