Bekas tentera didenda RM1,500 ceroboh Mes Pegawai Kanan Kem Terendak

MELAKA – Perbuatan seorang bekas tentera menceroboh masuk ke Mes Pegawai Kanan, Kem Terendak, Sungai Udang membawa padah apabila diperintah membayar denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Alif Duie, 39, selepas dia mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan Mes Perwira 94 HAT Kem Terendak dalam daerah Melaka Tengah tanpa kebenaran sah daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 2 pagi pada 28 Februari 2026 dan dia didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, perbuatan itu disedari seorang koperal tentera ketika melakukan rondaan sebelum terlihat sebuah kereta jenis Perodua Alza dalam keadaan mencurigakan di kawasan Mes Pegawai Kanan.

Siasatan mendapati tertuduh masih menyimpan kunci bilik pegawai kanan sejak menamatkan perkhidmatan sebagai anggota tentera pada 2022.

Terdahulu, peguam Amritpal Singh yang mewakili tertuduh merayu agar mahkamah mengenakan hukuman berbentuk denda dengan alasan anak guamnya perlu menjaga tiga anak berusia antara lapan hingga 12 tahun dan kini hanya melakukan kerja kampung untuk menyara keluarga selain telah insaf.

Menurutnya, tertuduh juga pernah berkhidmat selama 12 tahun dalam angkatan tentera sebelum berhenti pada 2022.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah memerintahkan tertuduh didenda RM1,500 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. – MYBERITA

BACA JUGA:  KPM ambil serius kewujudan halaman pedofilia libatkan murid sekolah
Wani Adawiyah
Wani Adawiyah
waniadawiyah@portalmyberita.com

TRENDING

Seni tempatan tembusi istana Brunei

KUALA LUMPUR – Seorang pelukis Malaysia, Muhammad Darwisy Mustafani,...

Kecurian kabel jejaskan laluan Putrajaya, perkhidmatan baik pulih berperingkat dalam tiga hari

KUALA LUMPUR - Kerja baik pulih perkhidmatan tren yang...

Tiada rekod pengislaman penuntut UMPSA terlibat isu hina agama – MUIP

KUANTAN - Semakan terhadap rekod Majlis Ugama Islam dan...

Orang ramai boleh tengok fenomena ‘bulan berdarah’ petang ini

KUALA LUMPUR – Orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena alam...

Pelajar UMPSA didakwa pijak al-Quran mengaku tak salah

KUANTAN - Seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah...