KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon Fazura tidak mampu menyembunyikan emosi apabila menitiskan air mata ketika sesi rakaman single terbaharunya berjudul Kisah Terbaik, selepas kembali mengingati fasa sukar yang dilaluinya dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Menurut Fazura, lagu tersebut membuka kembali kenangan pahit yang banyak dipendam, meskipun di mata umum dirinya kelihatan tabah dan mampu mengharungi kehidupan dengan tenang sebagai seorang ibu tunggal.
“Perjalanan nak sampai kepada sekarang ini, ada ujian daripada Allah, liku-liku dan yang buat saya sedih serta sayu ialah apabila melihat semua yang dilalui dalam hidup terutama dalam tempoh dua tahun lalu.
“Banyak liku-liku hidup, mungkin dari luaran orang nampak saya okey. Sebagai seorang pelakon atau wanita kuat macam saya, kita akan selalu ada di satu masa yang mahu semua orang nampak kita kuat,” katanya.
Tambahnya, di sebalik imej kuat yang sering dipamerkan, dia turut melalui detik sukar yang berat dan sukar digambarkan sehingga memberi kesan mendalam terhadap emosinya.
“Tapi saya manusia biasa juga. Ada dugaan hidup yang sukar nak digambarkan, memang sangat menyedihkan, melukakan dan sangat berat untuk nak sampai di tahap ini. Alhamdulillah sekarang sudah semakin gembira, tenang serta bahagia,” ujarnya.
Fazura berkata kekuatan untuk terus bangkit banyak disandarkan kepada hubungan spiritual dengan Allah SWT serta sokongan daripada keluarga, rakan terdekat dan peminat yang sentiasa berada di belakangnya.
“Orang kata klise tapi ini betul. Nombor satu adalah memang pertolongan daripada Allah. Memang pertolongan dan kekuatan hanya datang daripada Dia.
“Nombor dua, saya miliki ‘support system’ yang baik iaitu keluarga my family dan teman-teman rapat. Kemudian paling penting dalam hidup saya juga ialah peminat,” katanya lagi.



