SHAH ALAM – Demi memastikan prestasi vokalnya kekal berada pada tahap terbaik sepanjang saingan Big Stage Rocketfuel, penyanyi Hussain sanggup ‘berpuasa’ daripada menikmati durian walaupun sedang berada dalam musim buah kegemarannya itu.
Hussain berkata, pengalaman kehilangan suara selepas menikmati durian ketika menyertai program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) menjadi pengajaran terbesar buat dirinya sehingga tidak mahu mengulangi kesilapan sama.
“Ketika TTMM2 dulu, bapa saya, Jamilul Hayat memang melarang saya makan durian sebab bimbang mengganggu vokal. Jadi, lapan ke sepuluh minggu saya memang puasa durian tetapi ‘langgar’ juga pada konsert final yang akhirnya makan diri sendiri.
“Beberapa hari sebelum final saya makan. Pada awalnya nak makan sedikit tetapi sedar-sedar sudah dua biji, terus hilang suara,” katanya.
Menurut Hussain, walaupun sukar menahan keinginan menikmati durian ketika harganya lebih murah dan mudah diperoleh, dia tetap bertekad mengorbankan kesukaannya demi memberikan persembahan terbaik sepanjang pertandingan berlangsung.
“Selepas ini kena ‘puasa’ durian semula iaitu selama lapan minggu. Sayangnya, musim durian akan berlalu tambahan pula harga pula tengah murah ketika ini.
“Sekarang ini, kalau nampak gerai durian, saya terus tutup mata, pandang tempat lain sebab nak kawal nafsu,” katanya.
Dalam pada itu, Hussain turut meluahkan rasa syukur apabila menerima undian tertinggi daripada peminat sehingga melayakkannya menyertai Big Stage Rocketfuel sebagai peserta ke-11.
Katanya, sokongan yang diterima menjadi pembakar semangat untuk terus memberikan persembahan terbaik dan melangkah sejauh mungkin dalam pertandingan tersebut.
“Alhamdulillah ramai yang mengundi dan perkara itu membuatkan saya lagi bertambah semangat.
“Bila tengok ramai yang mengundi sebab rindu nak lihat saya menyanyi, memang terharu kerana masih ada orang ingat saya.
“Saya akan cuba untuk kuatkan mental untuk lapan minggu lagi. Insya-Allah, kalau boleh nak berjaya ke final,” ujarnya.
Pada konsert minggu pertama Big Stage Rocketfuel semalam, Hussain diumumkan sebagai peserta ke-11 yang melengkapkan senarai 11 peserta bagi merebut gelaran juara musim ini.


