JOHOR BAHRU – Kegelisahan penduduk Kampung Pasir, Tampoi yang sekian lama ‘berkongsi ruang’ dengan seekor buaya akhirnya berakhir apabila reptilia itu berjaya ditangkap awal pagi tadi oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Operasi penangkapan tersebut membabitkan perangkap khas yang dipasang di kawasan perairan berkenaan sebelum buaya itu dipercayai memasuki sangkar tersebut secara sendiri, sekali gus membolehkan pintu perangkap ditutup dengan selamat.
View on Threads
Suasana di lokasi turut menjadi kecoh seketika apabila penduduk yang sejak awal pagi menunggu perkembangan operasi dilihat bersorak dan bertepuk tangan sebaik sahaja tangkapan berjaya dilakukan, menandakan berakhirnya kebimbangan yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu.
Seorang pengguna TikTok, @DheaTaurus, meluahkan rasa lega selepas penantian panjang penduduk akhirnya membuahkan hasil.
“Penantian yang beberapa hari, akhirnya…,” katanya ringkas.
Dalam pada itu, pengguna lain, Nurul Amira Mustafa, berkata keadaan sekitar ketika operasi berlangsung cukup mendebarkan kerana orang ramai dilihat terlalu ramai sehingga dikhuatiri mengganggu usaha menangkap reptilia berkenaan.
“Alhamdulillah, dia (buaya) nak sunyi-sunyi, semalam masa tonton live (siaran langsung) ramai ramai sangat orang takut dia (buaya) nak masuk (sangkar perangkap),” katanya.
Seorang lagi pengguna, Asyrik, turut berkongsi pengalaman menyaksikan sendiri detik penangkapan itu yang disifatkannya tidak dijangka kerana kehadiran orang ramai lebih meriah daripada yang disangka.
“Betul-betul sunyi ye masa tunggu buaya masuk perangkap. Aku ingat tak ramai, rupanya penuh bersorak,” katanya.
Sebelum ini, kelibat buaya tersebut beberapa kali tular di media sosial selepas dipercayai berkeliaran di perairan Kampung Pasir, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.


