KUALA BERANG – Kegagalan mempamerkan tanda amaran larangan penjualan produk merokok kepada individu berusia bawah 18 tahun mengundang padah apabila seorang pengusaha kedai runcit didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Berang, hari ini.
Majistret Nur Athirah Hashim menjatuhkan hukuman itu terhadap Mazni Abdul Ghani selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Mazni didapati gagal mempamerkan tanda amaran larangan penjualan produk merokok kepada individu bawah 18 tahun di premis perniagaannya di Kampung Landas, Kuala Berang.
Kesalahan itu dilakukan pada 20 Ogos 2025.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 10(2)(a)(i) akta berkaitan kawalan produk merokok, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kesihatan, Alias Awang Kechik.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM7,000 selepas mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh.


