SEREMBAN – Aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dilaporkan sesak sehingga 16 kilometer susulan kemalangan yang berlaku berhampiran Kilometer (KM) 267.6 petang ini.
Kesesakan panjang itu dilaporkan bermula dari Plaza Tol Senawang hingga ke lokasi kejadian berhampiran Bandar Ainsdale.
Berdasarkan maklumat trafik setakat ini, aliran kenderaan turut dilaporkan bergerak perlahan sejauh kira-kira lima kilometer dari Bandar Baru Nilai menuju ke Bandar Ainsdale.
Kesesakan itu berpunca daripada dua insiden kemalangan yang dilaporkan berlaku berhampiran KM267.5 dan KM267.6 di laluan dari Seremban menghala ke Bandar Ainsdale.
Kemalangan di KM267.5 dilaporkan menghalang lorong kiri, manakala satu lagi kemalangan di KM267.6 pula menutup lorong tengah sehingga menjejaskan kelancaran trafik.
Kerja-kerja pengalihan kenderaan sedang dijalankan bagi membuka semula laluan terlibat.
Setakat ini, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal dan mempertimbangkan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan di kawasan berkenaan. – MYBERITA

