PendidikanYoong Jia Jia 'mengganas' di kolam SUKIPT, 'tapau' tiga emas sehari

Yoong Jia Jia ‘mengganas’ di kolam SUKIPT, ‘tapau’ tiga emas sehari

KUALA LUMPUR – Menyusun hampir keseluruhan kelas pengajian pada setiap Isnin menjadi antara pengorbanan dilakukan perenang Taylor’s University, Yoong Jia Jia bagi memastikan tuntutan akademik tidak mengganggu jadual latihan intensifnya dari Selasa hingga Ahad.

Disiplin itu ternyata membuahkan hasil apabila atlet berusia 19 tahun tersebut cemerlang meraih empat pingat dalam satu hari, termasuk tiga emas dan satu gangsa pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026.

Jia Jia merangkul emas menerusi acara 800 meter (m) gaya bebas, 4x100m berganti-ganti gaya bebas campuran dan 4x200m berganti-ganti gaya bebas, selain membawa pulang gangsa dalam acara 200m gaya bebas.

Lebih menarik, kejayaan itu diraih tanpa persiapan khusus untuk SUKIPT selepas dia terlebih dahulu memberikan tumpuan terhadap SUKMA yang berlangsung kira-kira satu hingga dua minggu sebelum temasya berkenaan.

“Sebenarnya, saya tidak membuat banyak persediaan untuk SUKIPT kerana lebih banyak melakukan persiapan untuk SUKMA.

“Jadi, saya datang ke kejohanan ini hanya mahu berseronok dan tidak meletakkan jangkaan terlalu tinggi,” katanya ketika ditemui MYBERITA.

Bagaimanapun, jadual padat menyaksikannya perlu turun dalam beberapa acara pada hari sama mula menguji ketahanan fizikal, terutama ketika menghampiri penghujung saingan.

Menurut Jia Jia, setiap pingat emas yang diperoleh menjadi pembakar semangat untuk terus memberikan yang terbaik demi Taylor’s University meskipun tubuhnya semakin keletihan.

“Saya berenang dalam agak banyak acara hari ini, dari acara pertama sehingga terakhir memang semakin penat.

“Tetapi pingat emas itu memberikan saya motivasi. Saya perlu menang untuk Taylor’s dan memberikan yang terbaik,” katanya.

Sabar jadi kunci kejayaan

Sudah berkecimpung dalam dunia renang hampir sedekad, Jia Jia mula berenang ketika berusia lapan tahun sebelum menyertai pertandingan sekitar usia sembilan hingga 10 tahun.

Perjalanan panjang itu mengajarnya bahawa prestasi seseorang atlet tidak sentiasa berada pada tahap terbaik dan kesabaran menjadi elemen penting untuk terus bertahan.

“Kesabaran adalah kunci kejayaan,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai rahsia yang membantunya meneruskan perjalanan sebagai atlet.

Jia Jia turut mengakui pernah melalui tempoh prestasi yang kurang memberangsangkan sebelum menunjukkan peningkatan semula tahun ini.

Dalam masa sama, atlet berkenaan menyifatkan keluarga sebagai penyokong utamanya, selain jurulatih, rakan sepasukan serta rakan-rakan di luar arena renang yang sentiasa memberikan motivasi.

Padatkan kelas pada Isnin

Di luar kolam, Jia Jia kini mengikuti pengajian Sarjana Muda Sains Komputer di Taylor’s University dan perlu bijak mengimbangi komitmen sebagai pelajar dengan latihan enam hari seminggu.

“Saya letakkan kebanyakan kelas dalam satu hari. Latihan saya dari Selasa hingga Ahad, jadi kebanyakan kelas saya letakkan pada Isnin supaya tidak bertembung dengan latihan,” katanya.

Selepas kejayaan di SUKIPT, Jia Jia kini mahu mengalihkan sepenuh perhatian kepada Sukan Universiti ASEAN (AUG) sebagai sasaran terdekat dalam kariernya.

Dia turut menggalakkan perenang lain supaya tidak takut mencuba acara 4x200m gaya bebas hanya kerana menganggap jarak 200m terlalu panjang.

“Apabila acara berganti-ganti melibatkan 200m gaya bebas, ramai fikir 200m itu terlalu jauh dan cuba mengelaknya.

“Tetapi untuk acara berganti-ganti, ia sebenarnya sangat menyeronokkan. Saya sangat menggalakkan semua orang mencubanya dahulu sebelum memilih untuk mengelak,” katanya.

Jia Jia turut menitipkan pesanan kepada atlet muda supaya tidak terlalu dibebani keputusan, sebaliknya menikmati setiap proses sepanjang perjalanan mereka dalam sukan.

“Buat yang terbaik dan nikmati perjalanan anda dalam sukan,” katanya.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-