KUALA LUMPUR – Pelakon Kamal Adli meluahkan kebimbangan terhadap trend akaun palsu yang menyalahgunakan identitinya dengan meletakkan kod QR bagi tujuan meminta wang daripada orang ramai.
Menurut Kamal, tindakan tidak bertanggungjawab itu boleh mengelirukan pengguna media sosial, lebih-lebih lagi apabila namanya digunakan tanpa kebenaran.
“Saya nak tekankan, ia jadi masalah apabila dia buat perkongsian dan sertakan sekali kod QR. Bagi saya, tak eloklah buat begitu. Saya sendiri tidak akan letak QR untuk minta duit,” katanya.
Dalam pada itu, Kamal mengakui masih belum sempat menyemak mesej peribadi (DM) berkaitan isu tersebut, namun berharap perkara itu dapat dikawal sebelum menjadi lebih serius.
“Setakat ini saya belum semak DM lagi kerana biasanya saya akan layan dahulu kemudian terus menghilang. Namun, saya harap perkara ini dapat dikawal.
“Kita kena laporkan sama-sama supaya perkara ini tidak berleluasa. Bukan saya sahaja yang terkena, malah ramai artis lain juga mengalami situasi sama,” ujarnya.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak mudah mempercayai sebarang hantaran mencurigakan, khususnya yang menggunakan identiti individu terkenal bagi tujuan penipuan.
Isu penyalahgunaan identiti di media sosial dilihat semakin membimbangkan apabila pelbagai taktik digunakan, termasuk penggunaan kod QR bagi memperdaya mangsa untuk membuat pembayaran. – MYBERITA

