KUALA LUMPUR – Perkhidmatan rel Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) akan dipanjangkan pada waktu puncak sepanjang bulan Ramadan bagi menampung corak penggunaan pengguna yang berubah.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan, waktu puncak pagi akan dipanjangkan bermula pukul 6.30 pagi hingga 9.30 pagi berbanding sebelumnya yang bermula pukul 7 pagi hingga 9.30 pagi.
Manakala waktu puncak petang pula akan dipanjangkan dari pukul 4 petang sehingga 8 malam iaitu empat jam berbanding pukul 5 petang sehingga 7.30 malam sebelum ini.
“Langkah ini bagi memastikan kelancaran rel perkhidmatan, meningkatkan keselesaan penumpang dan menjamin kecekapan operasi,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan daripada Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai sama ada waktu puncak perkhidmatan Rapid Rail akan diubah sempena Ramadan.
Anthony Loke menambah, perubahan waktu perkhidmatan itu juga bertujuan mengurus pergerakan penumpang pada waktu perjalanan pulang awal untuk persediaan berbuka puasa.
Menurut beliau, Rapid KL mempunyai kesiapsiagaan sepanjang masa, bukan sahaja pada bulan Ramadan tetapi juga sepanjang tahun, dengan mengamalkan langkah pencegahan dan pemulihan untuk memastikan penyelenggaraan dilakukan secara berkala. Ini bertujuan memastikan sistem dan tren sentiasa beroperasi dan mengurangkan kebarangkalian gangguan teknikal berlaku.
Namun begitu, beliau mengakui gangguan teknikal sukar diramal dan dibendung kerana isu teknikal boleh berlaku pada bila-bila masa.
“Sebarang gangguan perlu diminimumkan untuk memastikan kesan terhadap pengguna dapat dikurangkan,” ujarnya.
Anthony Loke menambah, kakitangan teknikal akan diletakkan dalam tren sebagai langkah bersiap sedia sekiranya berlaku gangguan, supaya langkah mitigasi dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan.

