KUALA LUMPUR – Tindakan menutup wajah penyanyi Bella Astillah dalam sebuah potret keluarga didakwa sebagai satu strategi pemasaran yang telah dirancang, sekali gus mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.
Pempengaruh media sosial, Syed Abdullah atau lebih dikenali sebagai Space Dollah berpendapat, perkara tersebut bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya merupakan teknik untuk menarik perhatian umum.
“Ini sudah dirancang dan sejujurnya cara pemasaran yang bagus. Jika difikirkan, semua orang bercakap mengenainya dan berkongsi foto tersebut. Tiada pemasaran adalah hal yang teruk,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan terhadap ibu kepada pelakon dan penyanyi Aliff Aziz yang dilabel sebagai toksik oleh segelintir netizen kerana tidak mengenali wanita itu secara peribadi.
Terdahulu, media sosial kecoh apabila ibu Aliff, Siti Hafizah Sheikh Mohamad didakwa menutup wajah Bella dalam gambar yang dipamerkan di kediamannya di Singapura.
Isu tersebut mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan peminat Bella yang menganggap tindakan berkenaan sebagai tidak wajar.
Untuk rekod, Bella pernah mendirikan rumah tangga dengan Aliff pada tahun 2016 sebelum bercerai pada Jun 2024.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata.
Terdahulu, Bella dilaporkan selamat bertunang dengan Syed Saddiq dalam sebuah majlis yang berlangsung pada 28 Mac lalu. – MYBERITA
