KUALA LUMPUR – Tindakan seorang ejen nikah di Siam, Thailand yang menawarkan khidmat pernikahan menggunakan sistem pembayaran ansuran atau Buy Now Pay Later (BNPL) mengundang kecaman orang ramai.
Menerusi satu hantaran yang tular di Threads, ejen berkenaan secara terbuka mempromosikan pakej perkahwinan di seberang sempadan dengan pilihan pembayaran melalui SPayLater atau aplikasi kredit digital lain.
“Jom kahwin Thailand pakai SPayLater. Boleh bayar ansuran kemudian atau guna apa-apa BNPL,” menurut hantaran tersebut.
Pakej premium yang ditawarkan merangkumi urusan akad nikah, pengesahan konsulat serta pengesahan sijil nikah Malaysia di Perlis tanpa pengetahuan isteri pertama dengan bayaran mencecah RM9,499.
Tawaran itu mencetuskan perdebatan apabila dilihat seolah-olah memudahkan lelaki berpoligami secara rahsia tanpa melalui prosedur undang-undang syariah yang ditetapkan di Malaysia.
Ejen berkenaan turut mendakwa perkhidmatan tersebut bertujuan memudahkan urusan perkahwinan dengan alasan “yang penting halal”.
Meninjau ruangan komen, rata-rata pengguna mengecam tindakan berhutang untuk berkahwin serta mempersoalkan etika menawarkan perkhidmatan pernikahan secara rahsia.
“Kalau kahwin pun pakai SPayLater dan BNPL, lebih baik fikir kemampuan dulu sebelum tambah isteri,” kata seorang pengguna.
Seorang lagi pengguna pula menegaskan perkahwinan secara sorok tanpa pengetahuan isteri pertama tidak wajar dinormalisasikan kerana melibatkan soal hak dan keadilan dalam rumah tangga.
Orang ramai turut berpendapat taktik pemasaran sedemikian boleh menjejaskan institusi kekeluargaan serta menggalakkan perkahwinan tanpa mengikut saluran undang-undang yang betul demi keuntungan perniagaan. -MYBERITA

