BAGAN DATUK – Presiden UMNO, Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan perubahan besar dalam pendekatan parti apabila UMNO bakal membuka permohonan keahlian secara terus tanpa melalui cawangan, sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menurut beliau, langkah digitalisasi keahlian itu akan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 17 April ini, sekali gus memudahkan kemasukan ahli baharu khususnya golongan muda yang menunjukkan minat tinggi untuk menyertai parti.
“Permohonan akan dibuat secara atas talian tanpa perlu melalui cawangan, bahagian dan negeri. Mereka akan menjadi ahli secara langsung, kemudian bebas memilih cawangan yang ingin disertai,” katanya ketika merasmikan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan-Cawangan Empat Peringkat Bahagian Bagan Datuk.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pendekatan baharu itu merupakan sebahagian daripada usaha meremajakan UMNO serta memperkukuh sokongan akar umbi dalam tempoh kritikal menjelang PRU16 yang dijangka berlangsung dalam masa kurang 12 bulan.
Dalam masa sama, Zahid turut mengumumkan dasar terbuka parti menerusi inisiatif “Rumah Bangsa” yang memberi ruang kepada bekas ahli yang dipecat atau digantung untuk kembali semula tanpa syarat, dengan pengiktirafan keahlian bakal dimuktamadkan pada mesyuarat MKT nanti.
Mengulas persiapan pilihan raya, beliau menegaskan jentera parti perlu diperkemas dari sekarang, sambil menyifatkan PRU16 sebagai medan penting untuk memulihkan kekuatan dan maruah UMNO.
“Ini bukan lagi gerak kerja biasa. Kita mahu gandakan majoriti kemenangan, khususnya di Bagan Datuk yang sebelum ini hanya menang dengan majoriti kecil,” ujarnya.
Selain itu, Zahid memaklumkan UMNO turut menggerakkan agenda penyatuan Melayu-Islam melalui platform Musyawarah Nasional dan Kolaborasi Agung yang menghimpunkan NGO, tokoh profesional serta parti-parti berkaitan.
Beliau optimis pendekatan inklusif dan strategi baharu itu mampu meningkatkan sokongan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional, sekali gus memperkukuh kedudukan parti menjelang PRU akan datang.

