KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal berdepan detik cemas apabila kenderaan ditunggangnya merempuh sebatang pokok yang tiba-tiba tumbang di tengah jalan dalam satu kejadian yang tular di media sosial semalam.
Menerusi satu hantaran video oleh Muhd Sufi, rakaman kamera 360 darjah itu memaparkan sebatang pokok besar tumbang secara mengejut dan menghalang laluan jalan di sebuah kawasan berhutan.
Berdasarkan rakaman tersebut, mangsa yang berada pada jarak terlalu dekat tidak sempat menekan brek sepenuhnya sebelum merempuh dahan pokok berkenaan lalu terjatuh di atas jalan.
Bagaimanapun, mangsa dilaporkan selamat dan berjaya bangun dengan segera tanpa mengalami kecederaan serius.
Mangsa juga dilihat bertindak pantas dengan memberi isyarat amaran kepada pengguna jalan raya dari arah bertentangan bagi mengelakkan kejadian rempuhan berantai.
Meninjau ruangan komen, rata-rata orang ramai meluahkan rasa syukur kerana mangsa tidak dihempap secara terus oleh batang pokok tersebut yang tumbang hanya beberapa saat sebelum kejadian.
“Nasib baik sempat brek sedikit, kalau tidak mungkin impak lebih teruk. Paling penting dia terus bangun dan fikir keselamatan orang belakang,” kata seorang pengguna.
“Alhamdullilah semua selamat, kalau mereka ini laju sikit mungkin jatuh atas mereka dah,” kata seorang lagi pengguna.
Orang ramai turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada terutama ketika melalui laluan berhutan dan berbukit yang berisiko berlakunya kejadian pokok tumbang secara tiba-tiba. –MYBERITA

