KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pekerja warga asing menunaikan solat di kawasan lapang berhampiran tapak pembinaan jalan menyentuh hati orang ramai yang melihat kepatuhannya terhadap kewajipan sebagai seorang Muslim.
Menerusi video dikongsikan pengguna TikTok, Fadzlan Lazim, kelihatan pekerja berkenaan sedang menunaikan solat dengan hanya beralaskan papan yang diletakkan di atas tanah di kawasan projek pembinaan.
Menurut kapsyen dikongsikan, walau seberat mana kerja dilakukan, kewajipan menunaikan solat tidak seharusnya diabaikan.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai yang rata-ratanya meluahkan rasa insaf serta kagum terhadap ketekunan pekerja berkenaan dalam menunaikan ibadah walaupun dalam keadaan serba sederhana.
“Dia cari rezeki, dia tak lupa Allah sebab dia tahu Allah yang memberi rezeki,” kata seorang pengguna.
“Orang lain susah senang, panas hujan tetap solat, itu yang terbaik,” ujar seorang lagi pengguna.
Selain itu, ramai turut mengingatkan bahawa kesibukan bekerja bukan alasan untuk meninggalkan kewajipan solat, sebaliknya ia perlu dijaga dalam apa jua keadaan.
Perkongsian itu sekali gus menjadi peringatan kepada masyarakat agar sentiasa mengutamakan kewajipan kepada Allah walaupun sibuk mencari rezeki harian. –MYBERITA

