KUALA LUMPUR – Tular di media sosial satu rakaman video memaparkan seorang lelaki didakwa diturunkan dari sebuah pesawat milik Malaysia Airlines selepas dipercayai melakukan gangguan tidak senonoh terhadap seorang pramugari.
Rakaman tersebut dikongsikan oleh penyanyi rap dan pempengaruh, Ariz Ramli atau lebih dikenali sebagai Caprice di Instagram. Menerusi video berkenaan, kejadian dipercayai bermula dengan perbalahan antara lelaki terbabit dan seorang pramugari yang berlaku dalam bahasa Mandarin.
Menurut maklumat yang dikongsikan, lelaki berkenaan enggan mematuhi arahan kru kabin untuk turun dari pesawat, menyebabkan keadaan menjadi tegang. Susulan itu, petugas keselamatan penerbangan terpaksa campur tangan sebelum mengiringinya keluar dari pesawat.
Berdasarkan kapsyen yang disertakan bersama video, lelaki tersebut dipercayai merupakan pelancong dari China dan didakwa menepuk punggung seorang kru kabin, sekali gus mencetuskan kemarahan ramai.
Di ruangan komen, seorang pengguna media sosial dikenali sebagai @Zyc_yucheng mendakwa telah menterjemahkan perbualan antara kedua-dua pihak. Menurutnya, lelaki tersebut menafikan melakukan perbuatan tidak senonoh dan mendakwa hanya “menepuk ringan” pinggul pramugari sambil menyatakan hubungan antara China dan Malaysia adalah rapat.
Dalam video itu, beberapa anggota keselamatan penerbangan dilihat mengiringi lelaki terbabit keluar sambil diperhatikan penumpang lain.
Sementara itu, ruangan komen dibanjiri reaksi netizen yang mengecam tindakan lelaki berkenaan dan menyifatkannya sebagai tidak beradab serta tidak menghormati wanita. Ramai turut memuji tindakan tegas kru kabin yang tidak berkompromi terhadap insiden tersebut.
Selain itu, seorang pengguna menjelaskan bahawa individu yang mengiringi lelaki itu bukan anggota polis, sebaliknya pasukan keselamatan penerbangan atau Aviation Security (AVSEC) di bawah Malaysia Airports Holdings Berhad.
Menurutnya, tindakan tersebut dipercayai diambil selepas juruterbang memberi isyarat kepada menara kawalan trafik udara sebelum dimaklumkan kepada pasukan operasi lapangan terbang dan seterusnya kepada pasukan AVSEC yang bertugas.
Insiden berkenaan sekali lagi menimbulkan perbincangan mengenai keselamatan serta keperluan menghormati kru penerbangan dalam memastikan perjalanan udara kekal selamat dan selesa untuk semua penumpang. – MYBERITA

