KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki yang didakwa merakam video bawah skirt seorang penumpang wanita di dalam tren Transit Aliran Ringan (LRT) mengundang kecaman selepas kejadian itu tular di media sosial malam tadi.
Menerusi satu video yang tular, kejadian tersebut disedari apabila seorang lelaki bertindak mencurigakan dengan meletakkan telefon pintarnya berhampiran seorang penumpang wanita di dalam tren.
Menurutnya, seorang wanita lain yang berada di lokasi bertindak berani menegur suspek selepas menyedari kedudukan telefon pintar lelaki berkenaan yang dipercayai merakam video bawah skirt mangsa.
Katanya, wanita tersebut bukan mangsa, namun tampil menegur dan bertindak sebagai penyelamat bagi mengelakkan kejadian lebih buruk.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna meluahkan rasa berang terhadap tindakan suspek selain memuji keberanian wanita yang menegur lelaki berkenaan.
“Terima kasih kepada akak yang tegur dan rakam itu, sekurang-kurangnya boleh jadi bukti dan buat kita semua lebih berwaspada,” kata seorang pengguna.
Seorang lagi pengguna turut menasihatkan agar sebarang rakaman dipadamkan sepenuhnya bagi mengelakkan ia disalahgunakan.
Susulan penularan video tersebut, pihak RapidKL tampil memberikan maklum balas dan meminta maklumat lanjut mengenai masa serta lokasi kejadian bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Pihak berkenaan memaklumkan bahawa perkara itu dipandang serius dan memohon orang ramai menyalurkan maklumat bagi membolehkan tindakan segera diambil. –MYBERITA

