KUALA LUMPUR – Taktik seorang individu dipercayai cuba memperdaya orang ramai dengan meraih simpati di media sosial terbongkar apabila ditegur secara terbuka oleh pengendali akaun rasmi Hospital Sultanah Aminah semalam.
Kejadian itu bermula apabila seorang pengguna memuat naik sekeping gambar bangunan hospital pada waktu malam menerusi platform Threads, sambil mendakwa dirinya berdepan kesempitan wang.
Dalam hantaran tersebut, individu berkenaan mendakwa memerlukan bantuan makanan selepas seminggu menjaga anaknya yang kononnya menjalani pembedahan hati.
“Salam, ada yang boleh sedekahkan apa-apa makanan pun tak apa. Dah seminggu jaga anak di hospital pembedahan hati, memang duit habis tak ada langsung,” tulisnya.
Bagaimanapun, cubaan meraih simpati itu memakan diri apabila pengendali akaun rasmi hospital berkenaan tampil mempersoalkan kesahihan gambar yang dimuat naik.
Menurut pihak hospital, bangunan induk yang dipaparkan dalam gambar tersebut sebenarnya telah ditutup secara rasmi bagi tujuan kerja-kerja baik pulih sejak awal April lalu.
“Saya baru muat naik memo penutupan bangunan induk awal April, bila pula terang-benderang ini,” jelas pengendali akaun tersebut di ruangan komen.
Tindakan pantas dan peka pihak hospital itu menerima pujian ramai, dengan netizen menyifatkannya sebagai langkah proaktif dalam membanteras taktik penipuan yang boleh memperdaya pengguna media sosial.
Terdahulu, hantaran berkenaan tular sebelum kesahihannya berjaya dipersoalkan, sekali gus mengelakkan lebih ramai orang daripada menjadi mangsa penipuan.

