KUALA LUMPUR – Penyanyi Andi Bernadee mendedahkan dia pernah mengalami penurunan berat badan secara drastik sehingga mencecah 46 kilogram (kg) akibat penyakit autoimun hipertiroid yang dihidapinya sejak lebih setahun lalu.
Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile, 35, berkata dia terpaksa mengambil sehingga 15 jenis ubat setiap hari selepas disahkan menghidap penyakit berkenaan pada penghujung tahun lalu.
Menurutnya, ubat-ubatan tersebut membantu merawat keadaan kesihatannya yang semakin merosot ketika itu.
“Sekitar tahun lalu kesihatan saya tidak menentu tetapi saya masih larat memenuhi undangan pentas sehingga menghadiri persembahan di sebuah pusat pengajian tinggi. Ketika itu tangan saya menggeletar dan saya juga mengalami sesak nafas.
“Sebelum itu banyak simptom lain termasuk gusi bernanah, tidak mampu menekan pedal minyak ketika memandu kerana menggigil, malah ketika tidur saya boleh menjerit akibat kekejangan.
“Selepas berjumpa pakar dan menjalani beberapa siri ujian, saya disahkan menghidap autoimun hipertiroid,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pra-dengar album sulungnya, Ding Geding, di Universal Music Malaysia, hari ini.
Andi menjelaskan penyakit tersebut menyebabkan penghasilan hormon berlebihan yang boleh menyerang organ-organ lain jika tidak dirawat dengan baik.
“Penyakit ini sebenarnya lebih kerap menyerang wanita. Dahulu saya perlu menelan 15 biji pil sehari, namun kini hanya dua biji pil sehari,” katanya.
Berkongsi perkembangan terkini, penyanyi lagu Satu Peluang itu berkata berat badannya kini kembali meningkat kepada 67kg selepas pernah susut hampir 20kg.
“Sekarang berat badan saya sudah naik kepada 67kg. Ketika sakit, berat badan saya turun sehingga 46kg. Bermula Disember 2025, saya berjaya menambah kira-kira 20kg.
“Hakikatnya saya sudah hidup dengan penyakit ini lebih setahun, cuma sebelum ini saya menafikan keadaan tersebut dan terus bekerja seperti biasa termasuk menghadiri penggambaran serta membuat persembahan,” ujarnya.
Tambah Andi, dia kini sedang melalui proses pemulihan dan bersyukur kerana dapat kembali aktif bekerja serta mempromosikan album sulungnya.
“Kini saya dalam proses pemulihan. Alhamdulillah, saya dapat kembali bekerja dan mempromosikan album ini. Saya juga aktif melakukan aktiviti riadah seperti pickleball bagi mengembalikan stamina,” katanya.
Mengulas tindakannya yang tampil berselubung ketika berada di sebuah premis baru-baru ini, Andi menjelaskan ia dilakukan bagi mengelakkan orang ramai memberi tumpuan kepada perubahan fizikalnya berbanding karya terbaharunya.
“Sebelum ini saya ada juga keluar rumah tetapi tidaklah berselubung. Saya hanya memakai topi dan pelitup muka, mungkin sebab itu ramai tidak perasan.
“Ketika teaser video Ding Geding sedang dipromosikan, saya sengaja berselubung kerana tidak mahu orang ramai keliru dengan perubahan fizikal saya.
“Nanti orang kata dalam video nampak lain, di luar pula lain. Ada yang mungkin membuat pelbagai andaian. Jadi saya hanya mahu mengelakkan perkara itu,” katanya.

