KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal, Mohd. Kazim Elias dilaporkan telah dibenarkan keluar dari hospital semalam selepas menunjukkan perkembangan kesihatan yang positif.
Berita gembira itu dimaklumkan oleh abangnya, Mohd. Najmuddin Elias, yang menyifatkan keadaan tersebut sebagai sesuatu yang amat melegakan buat seluruh ahli keluarga serta para peminat pendakwah berkenaan.
Menurut beliau, keadaan Ustaz Kazim semakin baik, namun orang ramai dinasihatkan agar tidak menziarahinya buat sementara waktu bagi memberi ruang untuk beliau berehat dan pulih sepenuhnya.
“Adik saya telah dibenarkan keluar dari hospital dan kini sedang berehat di rumah. Perkembangan positif ini amat menggembirakan kami sekeluarga serta para peminatnya.
“Kami berharap agar beliau terus beransur pulih. Saya bagi pihak keluarga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para doktor dan staf di KPJ Ipoh Specialist Hospital serta seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakannya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Najmuddin memaklumkan bahawa hanya ahli keluarga terdekat dibenarkan menziarahi Ustaz Kazim buat masa ini, selaras dengan nasihat pihak hospital demi menjaga tahap kesihatannya.
Beliau turut menjelaskan bahawa rawatan susulan akan terus dilakukan terhadap pendakwah tersebut berikutan terdapat implikasi lain yang melibatkan jantungnya.
“Apa pun, saya menyarankan agar orang ramai tidak menziarahi beliau buat sementara waktu sehingga beliau pulih sepenuhnya. Buat masa sekarang hanya keluarga terdekat sahaja dibenarkan melawat.
“Pihak hospital juga memaklumkan rawatan susulan tetap akan diteruskan kerana terdapat beberapa implikasi berkaitan jantung beliau,” ujarnya lagi.
Perkongsian tersebut melegakan ramai pihak yang sebelum ini mengikuti rapat perkembangan kesihatan Ustaz Kazim serta tidak putus-putus menitipkan doa agar beliau segera sembuh.
Sebelum ini, media melaporkan beliau dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat. Video yang tular turut memaparkan beliau berada di atas katil hospital ketika dibawa masuk ke ICU.

