KUALA LUMPUR – Sekumpulan pemandu motosikal yang didakwa menjadikan jalan raya di sekitar Putrajaya sebagai litar perlumbaan mengundang kecaman ramai dalam kalangan pengguna media sosial.
Menerusi hantaran di Threads oleh pengguna @dahi.syed, aktiviti berkenaan dipercayai berlaku di kawasan berhampiran hospital dan kawasan kediaman penduduk, sekali gus menimbulkan kebimbangan orang awam.
Menurutnya, lokasi tersebut bukan sahaja menempatkan hospital, malah turut mempunyai wad bersalin berisiko rendah serta kawasan penempatan yang memerlukan suasana tenang.
“Sebagai penduduk Putrajaya, sini aku cerita dekat situ ada apa, ada hospital, wad bersalin yang berisiko rendah dan banyak lagi,” katanya.
View on Threads
Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai penduduk turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap bunyi ekzos motosikal yang kuat, terutama pada waktu malam dan hujung minggu.
Seorang pengguna mendakwa gangguan tersebut turut memberi kesan kepada pesakit di wad bersalin yang memerlukan rehat mencukupi.
“Saya pernah tinggal dekat Wad Bersalin Berisiko Rendah P8 dan kita ini tak cukup rehat jaga bayi baru lahir. Boleh pula geng motosikal masa itu macam dekat litar Sepang bunyinya,” katanya.
Seorang lagi pengguna turut berkongsi pengalaman sama apabila terpaksa berdepan bunyi bising di kawasan Presint 8.
“Kita duduk dekat kawasan Presint 8 tepi jalan utama itu, memang bising kalau puak ini datang bunyikan ekzos. Tengah malam pula, lagi-lagi hujung minggu,” katanya.
Isu itu turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin yang mengesahkan telah menerima aduan berhubung video aksi berbahaya tersebut.
Beliau menegaskan bahawa keselamatan dan ketenteraman awam adalah keutamaan, selain memaklumkan telah meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera. -MYBERITA

