SHAH ALAM – Penampilan peserta program Ratu pada minggu keenam Talk To My Manager musim kedua menjadi perhatian selepas keadaan kesihatannya didedahkan tidak berada pada tahap terbaik ketika membuat persembahan bersama mentornya, guru tari profesional Linda Jasmine.
Menurut Linda, Ratu hadir ke lokasi pertandingan dalam keadaan kurang sihat selepas mengalami demam dan selesema, sekali gus memberi kesan terhadap tenaga persembahan.
“Tadi (semalam) dia sebenarnya sakit dan demam. Dia sampai di sini tengah hari manakala saya sampai sebelum rancangan bermula. Bila saya sampai mereka kata Ratu demam. Pasukan perubatan periksa tekanan darahnya pun sangat tinggi, jadi saya panik. Saya rasa persembahannya agak kurang bermaya hari ini sebab tengah demam dan selesema. Perkara itu mungkin menjejaskan persembahannya,” katanya.
Walaupun begitu, Linda tetap menyatakan rasa bangga terhadap usaha anak didiknya itu yang tetap meneruskan persembahan walaupun dalam keadaan tidak sihat.
“Saya sangat bangga dia berjaya sampai ke tahap ini. Saya pun tak sangka sebab dia tiada pengalaman. Dia bukan penyanyi, tak pernah buat persembahan besar macam ini. Dia cuma pernah buat satu atau dua persembahan di sekolah tarian. Saya rasa bagi seseorang yang tiada pengalaman atau latihan, dia melakukan tugas dengan sangat baik,” katanya lagi.
Mengulas mengenai masa depan Ratu dalam bidang seni, Linda berkata beliau masih perlu berbincang dari hati ke hati sebelum membuat sebarang keputusan.
“Saya berbelah bahagi. Sebenarnya saya belum pasti apa yang terbaik buatnya sekarang. Saya kena fikir masak-masak apa yang terbaik buat Ratu. Saya perlu bincang dengannya apa yang dia benar-benar mahu lakukan. Jika Ratu pilih jalan ini, dia kena sedar dia kena jaga disiplin selain bersedia fizikal dan mental. Saya tak boleh pimpin tangan dia selamanya,” ujarnya.
Minggu keenam menyaksikan Ratu dan Linda Jasmine menamatkan perjalanan mereka dalam pertandingan selepas menyampaikan persembahan duet lagu “Oh! Carol” bersama Chubb-E.

