BANGI – Lebih 200 hidangan warisan dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan bakal menjadi tarikan utama apabila Festival Warisan Selera Selatan 2026 (FWSS 2026) kembali dianjurkan dengan sasaran kehadiran melebihi 15,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya di Evo Mall, Bandar Baru Bangi bermula 26 hingga 28 Jun.
Festival yang membawa tema “Rasa Asli Menu Tradisi, Kini Di Bangi Lagi” itu menghimpunkan lebih 25 vendor makanan ikonik dari tiga negeri berkenaan sekali gus mengangkat semula keunikan resipi turun-temurun sebagai warisan yang terus relevan kepada masyarakat masa kini.
Ketua Pegawai Eksekutif Evo Mall, Zetty Rahim, berkata festival tersebut bukan sekadar medan menikmati hidangan tradisional, malah berperanan memperkenalkan identiti budaya masyarakat melalui makanan yang diwarisi sejak beberapa generasi.
“Festival ini menghimpunkan lebih 25 vendor makanan ikonik dari tiga negeri selatan iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan dengan hampir 200 variasi hidangan warisan, resipi keluarga dan sajian turun-temurun yang menjadi lambang identiti negeri masing-masing.
“Antara tarikan utama termasuk nama-nama makanan tradisi popular seperti Mee Rebus Haji Wahid dari Johor, Induk Salai dari Negeri Sembilan serta Asam Pedas Melaka yang cukup sinonim dengan keaslian rasa warisan tempatan,” katanya.
Festival anjuran Evo Mall yang diuruskan oleh A.M.A Infinity Solution itu diteruskan selepas kejayaan Festival Warisan Selera Timur tahun lalu yang berjaya menarik lebih 12,000 pengunjung.
Penganjuran kali ini turut mendapat sokongan Tourism Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), TEKUN Nasional dan Persatuan Penduduk Bangiku dalam usaha memperkukuh pelancongan domestik serta memperkasakan usahawan makanan tradisional.
Menurut Zetty, pengunjung bukan sahaja dapat menikmati sajian popular, malah berpeluang merasai pelbagai menu nostalgia yang semakin sukar ditemui di pasaran.
“Festival ini dilihat mampu menjadi medan untuk meraikan cerita di sebalik setiap sajian daripada warisan keluarga, budaya masyarakat dan air tangan generasi terdahulu agar terus dikenali oleh generasi baharu,” katanya.
Antara hidangan yang ditampilkan termasuk Nasi Ambeng, Masak Lemak Cili Api, Masak Lemak Salai, Burasak, Lemang Periuk Kera, Rendang Maman Warisan, Apam Johol, Kuih Sopang, pelbagai kuih tradisional, dodol serta keria gula Melaka.
Selain sajian makanan, festival berkenaan turut dipenuhi pelbagai aktiviti berteraskan warisan termasuk demonstrasi masakan tradisi dari tiga negeri, pertandingan memasak “Variasi Rasa 3 Negeri”, pertandingan busana tradisional negeri-negeri Selatan dan pertandingan mewarna keluarga bertemakan “2 Generasi 1 Potret”.
Pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan Zapin dan Kuda Kepang, sesi Kuiz Warisan serta sembang santai bersama tokoh dan personaliti jemputan yang berkongsi kisah berkaitan seni, budaya dan warisan tempatan.
Bagi menghargai sokongan orang ramai, penganjur menyediakan agihan 200 hidangan warisan secara percuma, cabutan bertuah serta Anugerah Vendor FWSS 2026 bagi mengiktiraf pengusaha yang konsisten mengekalkan keaslian makanan tradisional.
Kemeriahan festival turut diserikan dengan kehadiran selebriti dan pempengaruh termasuk Haziq Rosebi, Siti Nordiana, Naqiu Boboy, Nizam Jentik-Jentik, Adzrin Adzhar, Papayen, Dzulfqar Dzolkifley, Seorangaen, Squiggly CK dan Sara Anna.
Turut memeriahkan acara ialah persembahan daripada Kelab Tarian Rentak Hanung Seputra dan Akar Seni Malaysia yang mengetengahkan pelbagai seni budaya tempatan.
Sebagai kesinambungan usaha memartabatkan warisan kulinari negara, penganjur memaklumkan siri Festival Warisan Selera akan diteruskan menerusi Festival Warisan Selera Utara 2027 yang bakal mengetengahkan kepelbagaian makanan tradisi dari negeri-negeri utara.


