Friday, 24 July 2026
spot_img
PelbagaiLelaki mengamuk di pam minyak pemegang kad OKU, masih jalani rawatan psikiatri

Lelaki mengamuk di pam minyak pemegang kad OKU, masih jalani rawatan psikiatri

TANGKAK – Polis mengesahkan seorang lelaki yang tular berkelakuan agresif dan tidak terkawal di sebuah stesen minyak di Jalan Payamas di sini merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) serta masih menjalani rawatan psikiatri.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd. Talib berkata, pihaknya mengesan video yang tersebar di media sosial memaparkan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai cuba mencederakan dirinya sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku di sebuah stesen minyak di Jalan Payamas dan tidak mempunyai kaitan dengan sebarang unsur jenayah seperti yang didakwa oleh segelintir pihak.

“Ahli keluarga lelaki berkenaan tampil membuat laporan polis di Balai Polis Tangkak pada 23 Julai lalu bagi menafikan pelbagai andaian dan spekulasi yang tidak benar berkaitan insiden tersebut.

“Hasil semakan juga mendapati individu terbabit mempunyai kad OKU dan masih mempunyai rekod rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan lelaki berkenaan adalah berkaitan dengan masalah kesihatan yang dihadapinya dan bukannya berpunca daripada unsur jenayah atau faktor lain seperti yang tular di media sosial.

Sehubungan itu, Roslan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana ia boleh mengelirukan masyarakat.

Menurutnya, penyebaran maklumat tanpa pengesahan bukan sahaja berpotensi mencetuskan panik dalam kalangan orang ramai, malah boleh memberi tekanan emosi kepada individu terbabit serta ahli keluarganya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar lebih berhemah ketika berkongsi kandungan di media sosial, khususnya membabitkan individu yang sedang berdepan masalah kesihatan mental.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan tidak mudah mempercayai dakwaan yang tidak disahkan sehingga boleh menimbulkan salah faham,” katanya.

Insiden itu sebelum ini tular selepas rakaman video memaparkan seorang lelaki bertindak agresif di sebuah stesen minyak, sekali gus mengundang pelbagai andaian dalam kalangan pengguna media sosial sebelum polis tampil menjelaskan keadaan sebenar.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-