KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia akhirnya tampil bersuara selepas lebih dua bulan menyepi, menjelang aksi kemunculan semula pada Kejohanan Dunia tahun depan.
Bekas juara All England itu menegaskan bahawa beliau tidak mahu meletakkan sebarang tekanan ke atas dirinya, sebaliknya hanya mahu menikmati permainan dan memastikan kempen kali ini bebas daripada kecederaan.
“Paris, saya kembali. Sudah lama menyepi, dan Kejohanan Dunia akan menjadi kejohanan pertama selepas berehat panjang. Saya tidak mahu meletakkan tekanan berlebihan, cukup sekadar menikmati kembali suasana di gelanggang kompetitif. Paling penting, saya mahu tamatkan kempen ini tanpa sebarang kecederaan,” katanya menerusi hantaran di akaun rasmi Team LZJ di X.
Untuk rekod, pemain ranking ke-52 dunia itu kali terakhir beraksi pada siri jelajah dunia di All England pada Mac lalu sebelum mengambil cuti panjang bagi pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali kanan yang dialaminya pada Disember tahun lalu.
Zii Jia, yang sebelum ini meraih pingat gangsa di Olimpik Paris 2024, dilihat semakin bertenaga apabila satu rakaman video di Instagram memaparkan beliau melakukan aksi smash bertenaga dengan fizikal lebih mantap.
Di Kejohanan Dunia kali ini, undian menyaksikan Zii Jia bakal berdepan lawan sukar seawal pusingan pertama menentang pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin (ranking ke-38 dunia) pada Isnin ini (25 Ogos).
Jika berjaya melepasi halangan itu, beliau dijangka berentap dengan pemain nombor empat dunia dari China, Li Shi Feng, pada pusingan kedua.

