KUALA LUMPUR – Penyanyi rap, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli memberi bayangan bahawa perjuangannya masih belum berakhir selepas diperintah membayar ganti rugi RM220,000 serta memohon maaf kepada pendakwah Ebit Lew.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Caprice berkata keputusan mahkamah yang dibuat semalam tidak melemahkan semangatnya, malah menganggap keputusan berkenaan sebagai pembakar semangat untuk terus memberi perhatian terhadap isu yang diperjuangkannya.
“Results semalam buat kami lagi semangat,” katanya.
Menurut Caprice, terdapat beberapa peringkat mahkamah di Malaysia yang membolehkan sesuatu kes dikaji dan dipertimbangkan semula.
Dia juga mengakui tidak terkesan dengan sindiran terhadap dirinya susulan keputusan berkenaan, termasuk apabila diarahkan memohon maaf serta membayar ganti rugi.
Caprice berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk kembali bekerja atau mencari rezeki kerana percaya setiap individu sudah ditentukan rezekinya.
Namun, dalam hantaran sama, dia turut membuat kenyataan sinis dengan mendakwa dirinya tidak mempunyai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau cawangan kedai runcit untuk mencuci wang.
Caprice turut menjelaskan bahawa selama ini dia tidak pernah berkira apabila ada pihak meminta bantuan atau memintanya mengetengahkan sesuatu isu.
Dalam pada itu, dia mengaitkan perjuangannya dengan kes melibatkan PU Azman yang menurutnya mengambil masa sehingga lima tahun sebelum perkara berkenaan dibuktikan.
Katanya, sepanjang tempoh tersebut, dia berdepan pelbagai kecaman kerana membantu mangsa.
Justeru, Caprice menegaskan dia tidak kisah sekiranya perlu mengambil masa sehingga tiga tahun lagi untuk membuktikan perkara berkaitan kes Ebit Lew.
Perkembangan itu menyusul selepas Mahkamah Sesyen sebelum ini memerintahkan Caprice membayar ganti rugi RM220,000 kepada Ebit Lew serta membuat permohonan maaf berhubung penerbitan beberapa hantaran yang menjadi pertikaian.

