SHAH ALAM – Kekecewaan selepas tewas di pentas Talk To My Manager 2 (TTMM2) akhirnya terubat apabila penyanyi muda, Hussain, membuktikan kemampuan dengan muncul juara Big Stage Rocketfuel pada konsert akhir di Dewan Auditorium MBSA, malam tadi.
Hussain atau nama sebenarnya Jamak Hussain Jamilul Hayat, 23, meraih markah keseluruhan tertinggi hasil penilaian juri tetap dan undian dalam talian, sekali gus mengesahkan ramalan ramai terhadap potensinya sejak awal pertandingan.
Lebih bermakna, kemenangan itu hadir selepas anak kepada penyanyi veteran, Jamilul Hayat tersebut menjadikan pengalaman di TTMM2 sebagai pencetus semangat untuk kembali membuktikan dirinya di pentas lebih besar.
“Terima kasih kepada peminat sejak TTMM2 undi saya sehingga sekarang.
“Terima kasih juga kepada keluarga. Abah, saya berjaya. Semua ini atas sokongan semua, terima kasih juri beri tunjuk ajar kepada saya.
“Terima kasih Allah, Alhamdulillah,” katanya.
Kejayaan itu melayakkan Hussain menerima kontrak Rocketfuel Artist Development Contract bernilai sehingga RM100,000, wang tunai RM30,000, sebuah single serta trofi sumbangan Astro.
Pada persembahan final, Hussain memilih lagu Seniman Menangis, dendangan asal bapa saudaranya yang juga penyanyi terkenal, Datuk Jamal Abdillah.
Persaingan malam akhir turut menyaksikan setiap peserta bukan sahaja menampilkan persembahan solo, malah diuji menerusi segmen battle secara individu bagi menentukan kedudukan terbaik.
Tempat kedua menjadi milik Adam Nazmi yang membawa pulang kontrak Rocketfuel Artist Development Contract bernilai sehingga RM50,000, wang tunai RM20,000, sebuah single dan trofi.
Ranisha pula menduduki tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM10,000, kontrak pembangunan artis bernilai sehingga RM50,000, sebuah single dan trofi.
Danny berada di tempat keempat, manakala Yad-Z di kedudukan kelima, masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta trofi.
Danial Kifli melengkapkan saingan di tempat keenam dengan hadiah wang tunai RM3,000 dan trofi.
Big Stage Rocketfuel dihoskan Nabil Ahmad dan Azeva, dengan barisan juri tetap terdiri daripada Hael Husaini, Aisha Retno dan Akim Ahmad. Maestro muzik terkenal, Datuk Ramli MS pula tampil sebagai juri jemputan pada konsert final berkenaan.

