SINTOK – UiTM Cawangan Perak mencipta detik bersejarah apabila skuad Silver Lions FC dinobatkan sebagai juara Liga Bola Sepak IPT Divisyen 3 Tahun 2026 selepas menewaskan City University 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi final di Pusat Sukan Universiti, UUM.
Kejayaan itu hadir selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa penuh dan masa tambahan, sekali gus memaksa penentuan juara dilakukan menerusi sepakan penalti.
Skuad kendalian Shahreen Nizam Sharuddin terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan Muhammad Danial Zarfan Zainal sebelum City University bangkit menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Wafie Othman.
Dalam debaran penentuan dari jarak 12 ela, ketenangan pemain UiTM Perak akhirnya menjadi pemisah apabila setiap sepakan penting disempurnakan dengan baik untuk mengesahkan kemenangan 6-5.
Kejayaan itu turut menyaksikan Khairul Fahmi, atau lebih dikenali sebagai Apek, dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.
Lebih membanggakan, Silver Lions FC menamatkan kempen kejohanan tanpa sebarang kekalahan selain hanya melepaskan tiga gol, membuktikan kekuatan pertahanan dan konsistensi skuad sepanjang saingan.
Selain trofi kejuaraan, UiTM Perak turut membawa pulang hadiah kemenangan bernilai RM5,000, sekali gus mengukuhkan reputasi mereka sebagai antara pasukan yang semakin menyerlah dalam arena bola sepak institusi pengajian tinggi negara.
Pengurus pasukan, Muhammad Farid Muhamad Ismail, berkata kejayaan tersebut adalah hasil kerja keras secara kolektif melibatkan pemain, barisan kejurulatihan, pegawai pasukan, pihak pengurusan universiti dan penyokong.
“Kejayaan ini bukan milik pemain sahaja, tetapi hasil usaha semua pihak yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan kepada pasukan. Kami amat menghargai kepercayaan dan sokongan yang diberikan sehingga kami mampu mencipta sejarah ini,” katanya.
Menurutnya, pencapaian tanpa kalah sepanjang kejohanan membuktikan disiplin serta komitmen tinggi yang ditunjukkan seluruh pasukan sejak awal saingan.

