MahkamahBekas Pengarah Besar badan berkanun direman lima hari, SPRM siasat projek dan...

Bekas Pengarah Besar badan berkanun direman lima hari, SPRM siasat projek dan penjualan tanah

PUTRAJAYA – Siasatan berhubung dakwaan penyelewengan projek dan urusan penjualan tanah memasuki fasa baharu apabila seorang bekas Pengarah Besar sebuah badan berkanun bergelar Datuk direman selama lima hari bermula hari ini.

Perintah reman terhadap lelaki berusia lingkungan 60-an itu sehingga 11 September dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Suspek dipercayai ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah berkaitan pelantikan sebuah syarikat pemaju bagi satu projek di Kuala Lumpur, selain urusan membabitkan penjualan tanah.

Terdahulu, bekas pegawai kanan berkenaan tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9.15 pagi dengan menaiki van SPRM.

Dia yang memakai baju berkolar berwarna hijau kemudian dibawa masuk ke mahkamah dengan diiringi dua anggota SPRM dalam keadaan tangan tidak bergari.

Sementara itu, menurut sumber, SPRM turut dijangka mendapatkan perintah reman terhadap seorang lagi individu yang ditahan dalam siasatan sama.

Bagaimanapun, proses berkenaan dipercayai akan dilakukan di hospital susulan masalah kesihatan dialami individu terbabit.

Semalam, dua lelaki masing-masing berusia lingkungan 60-an dan 50-an ditahan kira-kira pukul 4 petang selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Penahanan itu dibuat bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah dalam pelantikan syarikat pemaju bagi sebuah projek di Kuala Lumpur.

Kes berkenaan menyusul tindakan SPRM membuka tujuh kertas siasatan minggu lalu berkaitan dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan Felda serta anak syarikatnya, Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FIC).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman sebelum ini dilaporkan berkata siasatan khas berskala besar menerusi OPS FELLA memberi tumpuan terhadap transaksi pelaburan dan pengambilalihan aset oleh pengurusan Felda dan FIC sepanjang tempoh 2010 hingga 2020.

“Penyiasatan khas berskala besar yang dinamakan sebagai OPS FELLA menumpukan kepada transaksi pelaburan dan pengambilalihan aset oleh pengurusan Felda dan FIC dalam tempoh 10 tahun iaitu antara 2010 hingga 2020,” katanya.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-