Politik16,920 ahli baharu sertai Pemuda UMNO dalam tempoh tujuh bulan

16,920 ahli baharu sertai Pemuda UMNO dalam tempoh tujuh bulan

KUALA LUMPUR – Seramai 16,920 ahli baharu menyertai Pemuda UMNO dalam tempoh Februari hingga Ogos tahun ini, sekali gus mencatatkan jumlah kemasukan tertinggi dalam kalangan sayap parti selepas pendaftaran keahlian secara dalam talian diperkenalkan.

Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Hafiz Ariffin berkata, perkembangan itu menunjukkan usaha membuka pendaftaran keahlian secara digital mula memberikan hasil dalam menarik penyertaan baharu.

“Alhamdulillah, bagi tempoh Februari hingga Ogos 2026 kita telah berjaya mencatatkan penambahan keahlian sebanyak 16,920 ahli baharu,” katanya ketika menyampaikan laporan sempena Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2026 Kali Ke-2 di sini.

Menurut Hafiz, pendaftaran secara dalam talian itu merupakan antara pendekatan progresif yang dilaksanakan parti dan diperkenalkan sempena ulang tahun UMNO ke-80.

Beliau berkata, usaha berkenaan turut didorong oleh kepimpinan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh yang secara konsisten membawa cadangan tersebut dalam Mesyuarat Pengurusan dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sehingga dapat direalisasikan.

Pada masa sama, Hafiz turut melihat fenomena “Aku Budak UMNO” di Threads sebagai antara faktor yang membantu meningkatkan keterlihatan parti dalam kalangan generasi muda.

Menurutnya, keterlibatan ahli dan pemimpin Pemuda di media sosial membolehkan mereka berkongsi nilai, jati diri serta perjuangan politik secara lebih dekat dengan golongan berkenaan.

“Ini semua adalah aset parti dalam menarik minat anak muda. Kita hargai setiap daripada anda,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pemuda UMNO turut memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan organisasi di peringkat akar umbi menerusi latihan pilihan raya serta penggunaan sistem MyUMNO sebagai persediaan menghadapi cabaran politik akan datang.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-