KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO tidak mahu menunggu sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) semakin hampir untuk menggerakkan jenteranya apabila persiapan awal termasuk memperkukuh pasukan ‘war room’ di peringkat negeri hingga akar umbi sudah dimulakan.
Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Hafiz Ariffin berkata, penggunaan sistem MyUMNO telah digerakkan seawal Januari tahun ini, selain taklimat persediaan pilihan raya dilaksanakan di beberapa negeri.
Menurutnya, antara negeri yang telah terlibat dalam taklimat berkenaan ialah Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
“Memasuki medan politik menghampiri Pilihan Raya Umum akan datang, Pergerakan Pemuda telah mula membuat persiapan dengan menggerakkan MyUMNO seawal Januari 2026, di peringkat negeri-negeri, termasuk memperkukuhkan pasukan war room dari peringkat negeri sehingga ke peringkat bawah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan laporan sempena Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2026, di sini.
Hafiz berkata, Pemuda UMNO juga merancang mengadakan satu program retreat bagi menghimpunkan kekuatan organisasi pada setiap peringkat sebagai sebahagian persediaan menghadapi pilihan raya.
Menurutnya, jentera Pemuda bukan sahaja perlu mengetahui kaedah menghadapi parti lawan, malah mesti memahami pengundi serta mengenal pasti kekuatan dan kelemahan sendiri.
“Saya menyeru agar sidang perwakilan sekalian untuk bersiap sedia lebih awal. Ilmu bertempur dengan lawan mesti dalam genggaman kita. Ilmu memikat rakyat mesti sudah sebati.
“Ilmu mematahkan segala tohmahan dan fitnah lawan mesti kita kuasai. Kita harus faham medan tempur kita, kenal pengundi kita, tahu kekuatan kita,” katanya.
Terdahulu, Hafiz mengingatkan kemenangan yang diraih parti dalam pilihan raya negeri tidak menjamin kejayaan sama dapat diterjemahkan pada PRU akan datang.
“We won the battles, but we have not won the war yet,” katanya sambil menegaskan Pemuda perlu sentiasa membaca perubahan sentimen rakyat dan dinamik politik negara.
