JITRA – Hasrat seorang pemandu lori simen untuk membawa isteri dan tiga anaknya bercuti di Pulau Pinang tidak kesampaian apabila dia ditahan selepas disahkan positif dadah ketika memandu kenderaan berat, malam tadi.
Lelaki berusia 43 tahun itu ditahan dalam Ops Khas Bersepadu Dadah Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Jitra arah selatan selepas ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah.
Ketika ditahan, lelaki terbabit merayu kepada penguat kuasa supaya dilepaskan kerana sudah berjanji untuk membawa keluarganya keluar berjalan-jalan pada keesokan hari.
“Tolonglah jangan tangkap saya, esok saya dah janji dengan isteri dan anak-anak nak keluar jalan-jalan. Saya janji selepas ini saya akan berubah, saya dah insaf,” rayunya.
Bapa tiga anak yang tinggal di Pendang itu ketika kejadian dalam perjalanan menghantar serbuk simen dari Perlis ke Perak.
Dia mendakwa mengambil dadah ketika terlalu letih bagi mendapatkan tenaga untuk bekerja selain mengakui isterinya tidak mengetahui mengenai perbuatannya itu.
“Saya ambil dadah bila badan rasa letih sangat, nak bagi bertenaga. Saya mengaku saya tersilap, saya tak akan buat dah.
“Esok pula saya dah janji nak bawa isteri dan anak-anak mandi kolam dan jalan-jalan di Pulau Pinang,” katanya.
Lelaki itu turut mengakui mengambil methamphetamine sejak kira-kira 15 tahun lalu ketika bekerja sebagai buruh kontrak dan pernah ditahan sebelum ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Stien Van Lutam berkata, pemandu yang positif dalam saringan dadah dan dikenakan tindakan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) turut berdepan tindakan pentadbiran JPJ.
Menurutnya, Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Vokasional pemandu berkenaan akan ditahan sehingga siasatan serta tindakan AADK selesai, manakala Lesen Vokasional boleh digantung selama tiga bulan tertakluk kepada peruntukan berkuat kuasa.
“JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemandu kenderaan perdagangan yang mengambil risiko memandu selepas mengambil atau menyalahgunakan dadah,” katanya.
Sejak 1 Julai lalu, seramai 123 pemandu kenderaan diperiksa menerusi operasi bersepadu berkenaan dengan enam daripadanya dikenakan tindakan.
Stien turut mengingatkan pemandu kenderaan perdagangan supaya tidak sesekali memandu di bawah pengaruh dadah, alkohol atau bahan yang boleh menjejaskan keupayaan mengawal kenderaan kerana kesilapan kecil ketika mengendalikan kenderaan berat boleh membawa akibat besar termasuk kehilangan nyawa.
