KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan mengumumkan Ahad ini (30 Mac) sebagai cuti peristiwa sempena Hari Raya Aidilfitri bagi memberi kelonggaran kepada rakyat, terutama perantau, untuk pulang ke kampung lebih awal.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.
“Cuti ini diharap dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas sehari sebelum perayaan dan memberi peluang kepada rakyat untuk merapatkan silaturahim bukan sahaja dalam kalangan ahli keluarga tetapi juga sahabat handai,” katanya.
Selain itu, kerajaan negeri turut mengumumkan pemberian bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM500 kepada kira-kira 9,000 penjawat awam di negeri itu.
Bantuan kewangan khas tersebut akan mula disalurkan esok dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM5 juta.
Dalam pada itu, Mohd Nassuruddin turut menasihati semua perantau yang akan pulang berhari raya agar memandu dengan berhemah bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.
\”Kita berharap semua anak perantau berhati-hati di jalan raya kerana kita tidak mahu berlaku sebarang tragedi yang boleh meragut nyawa,\” katanya.
Beliau juga mengingatkan ibu bapa supaya mengawasi anak-anak daripada bermain mercun bagi mengelakkan kecederaan serius.
“Setakat ini, sudah ada kes kecederaan akibat mercun.
Jangan berikan wang kepada anak-anak untuk membeli mercun kerana permainan ini berbahaya,” katanya.
Pengumuman cuti khas dan bantuan kewangan ini dijangka memberi kelegaan kepada rakyat Kelantan yang bakal menyambut Aidilfitri dengan lebih tenang dan selesa.

