Pengetua tadika didenda RM2,000 kerana pulas telinga murid

AMPANG – Seorang pengetua tadika didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang murid perempuan berusia enam tahun dengan memulas telinganya kerana tersalah menulis huruf \’G\’ pada tahun lalu.

Hakim Nurulizwan Ahmad Zubir menjatuhkan hukuman tersebut setelah tertuduh, seorang ibu tunggal berusia 61 tahun, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan. Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara 20 hari jika tertuduh gagal membayar denda, namun denda itu telah dijelaskan.

Berdasarkan pertuduhan, kejadian berlaku pada 6 Mac tahun lalu kira-kira jam 11.30 pagi di sebuah tadika di Taman Cempaka, dekat sini. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Peguam tertuduh, Jenifer Irithusamy, merayu agar mahkamah mengenakan denda minimum, memandangkan anak guamnya adalah ibu tunggal yang mempunyai dua anak serta memperoleh pendapatan RM3,000 sebulan sebagai pengetua tadika. Tertuduh juga memohon maaf kepada mahkamah, pihak polis, dan mangsa, serta berjanji tidak akan mengulangi kesilapan tersebut.

Menurut Jenifer, tadika yang dikendalikan tertuduh menerima pendaftaran antara 15 hingga 20 kanak-kanak setiap tahun, dan tertuduh berharap diberi peluang kedua untuk meneruskan kehidupannya serta terus mendidik anak-anak kecil menjadi insan bijak.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin, memohon hukuman yang setimpal bagi mengambil kira kepentingan awam serta memastikan kesalahan seperti ini tidak berulang. Beliau menegaskan bahawa pengakuan bersalah tidak semestinya menjamin hukuman ringan.

Mengikut fakta kes, ibu mangsa yang merupakan seorang juruaudit berusia 37 tahun dimaklumkan oleh anak sulungnya bahawa adiknya dipukul dengan pen \’marker\’ di tangan dan telinganya dipulas oleh tertuduh. Pemeriksaan pegawai perubatan kemudian mengesahkan terdapat kecederaan tisu lembut pada telinga kanan mangsa.

BACA JUGA:  Tiada rombakan kabinet PKR - Anwar
Jafnieza Jafri
Jafnieza Jafri
jafnieza@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...