SUBANG JAYA – Jumlah mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Nurul Iman akibat kebakaran saluran paip gas di Putra Heights terus meningkat, dengan 484 orang daripada 109 keluarga direkodkan setakat jam 8 pagi tadi.
Mangsa terdiri daripada 149 lelaki dewasa, 141 wanita dewasa, 135 kanak-kanak, serta 21 bayi.
Turut menerima bantuan di PPS ialah 34 warga emas dan empat individu orang kurang upaya (OKU).
Seorang wanita terpaksa dikejarkan ke Hospital Serdang selepas mengalami tekanan darah tinggi, manakala seorang lagi mangsa yang mengalami kecederaan ringan akibat kesan terbakar sedang menerima rawatan daripada pasukan perubatan.
Penduduk yang terjejas menerima pelbagai bentuk bantuan, termasuk daripada Persatuan Anak Kelantan serta individu berhampiran Putra Heights yang tampil memberikan sumbangan keperluan asas.
Jumlah mangsa di PPS meningkat secara mendadak sejak semalam, bermula dengan 17 keluarga dan 49 orang pada tengah hari sebelum meningkat kepada 74 keluarga dan 364 mangsa menjelang tengah malam.
Pihak berkuasa terus memantau situasi bagi memastikan keselamatan serta kebajikan penduduk terjejas.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, turut hadir melakukan tinjauan terhadap mangsa sekitar jam 9 pagi.
Keadaan semasa masih dalam pemantauan rapi, dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

