GEORGE TOWN – Seorang pemuda berusia 27 tahun maut dalam keadaan tragik apabila terjatuh dari tingkat 22 Flat Saujana di sini, semalam.
Mangsa, yang merupakan warga tempatan, ditemui dalam keadaan badannya terputus dua dan tersangkut pada tembok di tingkat tiga oleh orang awam sebelum kejadian dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan cubaan bunuh diri pada pukul 5.28 petang semalam.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai digerakkan ke lokasi kejadian.
Tindakan awal anggota adalah membantu pihak polis menurunkan mayat mangsa,” katanya.
Operasi turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela Mount Erskine dan selesai sepenuhnya pada pukul 7.48 malam.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

