Pertengkaran dalam van berakhir tragedi, suami ditahan – Polis

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki tempatan yang juga suami kepada mangsa wanita yang maut selepas tercampak keluar daripada sebuah van di tepi Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, suspek berusia 50 tahun yang bekerja sebagai penghantar barangan itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Kinrara, Puchong sekitar pukul 6 petang.

Menurut beliau, tangkapan dilakukan oleh sepasukan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras susulan laporan kejadian tersebut.

“Hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian dan menyatakan berlaku pertengkaran mulut dengan isterinya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Aidil, siasatan mendapati mangsa berusia 44 tahun itu telah berkahwin dengan suspek selama 20 tahun dan pasangan tersebut mempunyai dua orang anak.

“Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau serta dua rekod berkaitan kes dadah. Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzodiazepine,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa mangsa dipercayai turut terlibat dalam penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine, berdasarkan hasil siasatan awal.

Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita tercampak keluar dari sebuah van sebelum kenderaan itu memecut meninggalkan lokasi dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas hospital.

BACA JUGA:  Anwar gesa isu dadah dan vape perlu diselesaikan
Lailatul Qadrina
Lailatul Qadrina
lailatulqadrina@portalmyberita.com