SITIAWAN â Seorang wanita warga emas berusia 73 tahun disahkan meninggal dunia selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Volvo XC90 yang terbabas ke dalam premis restoran makanan segera KFC di sini, malam Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.05 malam itu, mangsa yang merupakan pelanggan restoran menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Seri Manjung.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila SUV yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun hilang kawalan ketika tiba di persimpangan lampu isyarat di hadapan restoran terbabit.
âKenderaan dari arah Kampung Koh ke Sungai Wangi itu dipercayai terbabas ke kanan sebelum merempuh bangunan restoran yang ketika itu dipenuhi pelanggan,â katanya dalam kenyataan hari ini.
Rempuhan berkenaan turut mengakibatkan lapan orang cedera, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun. Tujuh daripada mangsa kini dirawat di Hospital Seri Manjung.
Pemandu SUV hanya mengalami kecederaan ringan dan telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Nur Syafiqah Baharudin di talian 012-6375962 atau 05-6899072.
Terdahulu, kejadian mengejutkan itu turut tular di media sosial yang memaparkan keadaan sebuah SUV merempuh masuk ke dalam premis dan mencederakan pelanggan, termasuk seorang yang terperosok di bawah kenderaan.

