Penunggang motosikal maut dirempuh selepas pemandu Maserati buat \”u-turn\” berbahaya

ISKANDAR PUTERI – Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 0.6 Lebuhraya Link Kedua, di sini, kira-kira pukul 7.00 malam semalam.

Mangsa yang berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada tindakan seorang pemandu kereta mewah warga Singapura yang membuat pusingan U di lokasi yang tidak dibenarkan.

“Kereta jenis Maserati berwarna merah yang dipandu lelaki berusia 27 tahun itu telah melanggar pembahagi jalan tengah ketika cuba membuat pusingan U untuk pulang ke Singapura.

“Impak pelanggaran itu menyebabkan besi penghadang jalan tercabut dan memasuki laluan bertentangan, sebelum dilanggar oleh mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumarasan berkata, rempuhan kuat menyebabkan mangsa terpelanting ke bahu jalan, manakala kotak simpanan motosikal miliknya turut tercampak ke laluan bertentangan.

“Kotak tersebut kemudian dilanggar oleh dua motosikal lain, iaitu Yamaha MT-09 berwarna ungu dan Yamaha XMAX 250 berwarna kelabu. Namun, kedua-dua penunggang tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Insiden itu turut mencetuskan ketegangan apabila pemandu Maserati terbabit dikatakan telah dipukul oleh beberapa pengguna jalan raya menggunakan topi keledar.

“Polis kini menjalankan siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu dan berbahaya serta Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk proses bedah siasat.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5101322 bagi membantu siasatan.

BACA JUGA:  Pemilik \'homestay\' kecewa TV rosak, rumah berselerak, penyewa masih belum bayar ganti rugi
Deepa
Deepa
deepa@portalmyberita.com

TRENDING

Tiada unsur jenayah dalam tragedi Pelantar Sepat, punca sebenar masih disiasat – Polis

KUALA TERENGGANU – Insiden kemalangan di pelantar minyak Sepat...

31,600 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah

MAKKAH – Suasana penuh tertib dan berdisiplin mewarnai pergerakan...

Arif Aiman tamatkan zaman bujang, sah bergelar suami kepada Aliah Natasha

JOHOR BAHRU - Pemain sayap Arif Aiman Hanapi kini...

JPJ tangguh sementara urusan tukar hak milik kenderaan ‘online’ mulai 25 Mei

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan...

Linda Jasmine, Ratu tersingkir minggu keenam TTMM2

SHAH ALAM - Perjalanan pasangan Linda Jasmine dan Ratu...