PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan pada Isnin menangguhkan pendengaran rayuan Siti Bainun Ahd Razali terhadap hukuman penjara 12 tahun selepas pihak pembelaan mengemukakan permohonan memasukkan keterangan baharu.
Permohonan itu dikaitkan dengan satu laporan polis yang dibuat oleh ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, melibatkan seorang saksi pendakwaan dalam kes pengabaian dan penganiayaan remaja sindrom Down dikenali sebagai Bella.
Peguam Haijan Omar yang mewakili Siti Bainun, berkata laporan tersebut tidak menyentuh anak guamnya secara langsung, namun berkaitan kredibiliti saksi utama pendakwaan.
“Permohonan ini merangkumi tiga perkara iaitu memasukkan notis usul berhubung laporan polis oleh Ismanira, memanggil beliau untuk memberi keterangan lanjut dan memanggil semula salah seorang saksi utama pendakwaan,” katanya di hadapan panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah, bersama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Choo Kah Sing.
Susulan permohonan tersebut, mahkamah menetapkan 3 Jun ini untuk pengurusan kes dan 9 Julai sebagai tarikh pendengaran rayuan.
Pada 3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas Siti Bainun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella.
Hukuman 10 tahun bagi pertuduhan pertama dan 12 tahun bagi pertuduhan kedua diperintahkan berjalan serentak bermula tarikh hukuman dijatuhkan.
Siti Bainun juga diarahkan menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun, dengan cagaran RM5,000 dan menjalani 200 jam khidmat masyarakat dalam tempoh enam bulan selepas hukuman penjara tamat.
Mahkamah Tinggi pada 23 Mei tahun lalu menolak permohonan penangguhan hukuman atas alasan tiada keadaan luar biasa untuk berbuat demikian.

