Selasa, 21 Julai 2026
spot_img
Main Menu MYBERITA
NasionalDeruman 25 pesawat TUDM gegar Langkawi, rasmi pembukaan LIMA’25

Deruman 25 pesawat TUDM gegar Langkawi, rasmi pembukaan LIMA’25

LANGKAWI – Deruman enjin 25 pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membuat aksi mendebarkan di ruang udara Langkawi disusuli letupan, asap dan api menjulang tinggi mencetuskan keterujaan luar biasa sekali gus menandakan pembukaan rasmi Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) hari ini.

Edisi ke-17 pameran dwitahunan itu yang membawa tema ‘Inovasi Hari Ini, Pencapaian Masa Hadapan’ berlangsung selama lima hari di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi.

\"3\"
\"2\"

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan majlis perasmian di kawasan tarmac MIEC yang turut disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor serta Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar.

Aksi udara yang dipersembahkan oleh juruterbang TUDM nyata memukau ribuan penonton yang membanjiri lokasi, dengan aksi terbang rendah dan formasi kompleks pesawat-pesawat ketenteraan yang menyuntik semangat patriotisme.

\"4\"

Antara pesawat yang menyertai persembahan ialah tiga jet pejuang Sukhoi Su-30MKM, tiga F/A-18D Hornet, dua pesawat pengangkut A400M, tiga C130H, dua helikopter EC-725, tiga AW-139, tiga EC 120B serta enam pesawat latihan PC-7 MKII.

Seorang pengunjung, Mohd Samsulnizam Mohammad Mokhtar, 52, menyifatkan pertunjukan udara kali ini antara yang paling mengagumkan pernah disaksikannya.

“Aksi helikopter seperti menari di udara dan kehadiran pesawat Hornet serta Sukhoi dengan kelajuan tinggi disusuli letupan dan api menjulang benar-benar mengejutkan semua orang. Saya bangga melihat kecekapan dan kehebatan juruterbang kita,” katanya teruja.

LIMA’25 menghimpunkan pemain industri maritim dan aeroangkasa dari seluruh dunia, termasuk pempamer antarabangsa, pembuat pesawat, syarikat pertahanan dan teknologi serta delegasi rasmi pelbagai negara — menjadikannya platform strategik memperkukuh kerjasama industri dan pertahanan global.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-