IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh jaringan kerjasama bersama sektor industri apabila sembilan syarikat menandatangani Surat Hasrat (Letter of Intent – LoI) dalam satu majlis penuh simbolik yang berlangsung di Perpustakaan Tan Sri Othman Merican, PUO di sini.
Majlis menandatangani dokumen itu menandakan satu usaha bersepadu PUO dan pihak industri dalam memperkukuhkan hubungan strategik demi manfaat bersama, khususnya dalam memperkasa pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di Malaysia.
Pengarah PUO, Dr. Shamsuri Abdullah dalam ucapan perasmiannya merakamkan penghargaan kepada semua syarikat terlibat atas komitmen mereka dalam menyokong aspirasi TVET negara.
“Kolaborasi ini bukan sekadar perkongsian di atas kertas, tetapi merupakan satu landasan penting bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan PUO melalui pelaksanaan latihan industri, program peningkatan kemahiran (reskilling dan upskilling), serta peluang pekerjaan yang lebih luas,” jelas beliau.
Antara syarikat yang menandatangani LoI termasuk OSK Holding Berhad, BMI Roofing Systems Sdn. Bhd., Panasonic Air-Conditioning Malaysia Sdn. Bhd., Camfil Malaysia Sdn. Bhd., RZ Management Services, Shukri Yusof & Co., Zahar & Associates Sdn. Bhd., Hisham & Co. dan Real Management Services.
Menurut Dr. Shamsuri, kerjasama seumpama ini turut membuka peluang kepada politeknik untuk memperluaskan jaringan industri dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pembangunan teknologi. Malah, industri juga dapat menyumbang kepakaran dan teknologi terkini, selari dengan keperluan semasa dunia pekerjaan.
Beliau turut menekankan kepentingan penglibatan industri dalam menawarkan bengkel, seminar serta latihan kepada pelajar dan pensyarah, supaya pengajaran dan pembelajaran sentiasa segar dengan perkembangan teknologi semasa.
Sementara itu, Corporate, Industrial Services & Employability Centre (CISEC) PUO sentiasa memainkan peranan aktif dalam mengukuhkan hubungan strategik dengan pihak industri dan agensi berkaitan, khususnya dalam aspek kurikulum, penyelidikan, latihan serta pembangunan komuniti.
Setakat ini, PUO telah menjalinkan kerjasama dengan lebih 600 industri pelbagai sektor, termasuk dalam penyediaan tempat latihan industri untuk pelajar, satu langkah penting ke arah pembangunan modal insan yang kompeten dan berdaya saing.
PUO optimis untuk terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui penghasilan tenaga kerja mahir sejajar dengan kehendak industri semasa.

