Sekolah patriotik UMNO terus jadi pilihan, 200 permohonan baharu diterima

KUALA LUMPUR – Sekolah Patriotik UMNO terus mencuri perhatian apabila menerima lebih 200 permohonan baharu bagi pengambilan kumpulan ketiga, meskipun sesi latihan bagi kumpulan kedua masih berjalan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkembangan itu menunjukkan keyakinan tinggi golongan muda terhadap modul latihan yang ditawarkan, yang diyakini mampu melahirkan pemimpin masa depan berwawasan serta berjiwa perjuangan.

“Untuk pengambilan ketiga nanti, kita hanya akan ambil sekitar 50 hingga 60 orang sahaja. Kita lebih utamakan kualiti berbanding kuantiti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Koleksi Buku Eksklusif Negeri Pahang dan Pristine Pahang sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL 2025) di WTCKL, semalam.

Menurut beliau yang juga Menteri Besar Pahang, seramai 48 graduan telah dilahirkan menerusi kumpulan pertama, manakala 61 peserta kumpulan kedua sedang mengikuti latihan intensif yang sedang berlangsung.

Tambahnya, Sekolah Patriotik UMNO bukan sahaja menekankan latihan kepimpinan, malah memberi nilai tambah kepada peserta yang sudah memiliki kelayakan akademik dari institusi pengajian tinggi awam atau swasta.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa penubuhan sekolah tersebut bertujuan melahirkan pemimpin muda yang bukan sahaja mahir dalam strategi dan landskap politik, tetapi turut memahami serta menjiwai nilai perjuangan sebenar UMNO.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa Sekolah Patriotik UMNO bukan sekadar medan pembelajaran politik, tetapi turut menjadi platform penting membentuk roh dan semangat perjuangan dalam kalangan generasi muda negara.

Permintaan yang tinggi terhadap program ini menjadi bukti komitmen anak muda terhadap pembangunan jati diri serta kepimpinan yang berpaksikan nilai dan prinsip perjuangan.

BACA JUGA:  Menghina ibu, punca Amad Diallo tunjuk jari tengah

Jafnieza Jafri
Jafnieza Jafri
jafnieza@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...