KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh difitnah oleh pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, dan mengarahkan beliau membayar ganti rugi sebanyak RM400,000.
Keputusan itu diumumkan Hakim Datuk Aliza Sulaiman selepas menolak hujahan pembelaan Kamarul Zaman yang mendakwa Hannah tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman tersebut.
Kes itu berkaitan dua hantaran Facebook yang dimuat naik oleh Kamarul Zaman antara 10 dan 17 Mei 2017.
Dalam kenyataannya, beliau mendakwa Hannah membawa agenda memurtadkan umat Islam serta menggunakan platform politik untuk menyebarkan ajaran Kristian.
Kamarul Zaman turut merujuk buku autobiografi Hannah bertajuk Becoming Hannah: A Personal Journey sebagai kononnya bukti kepada dakwaan bahawa beliau mempunyai niat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian.
Namun, mahkamah memutuskan bahawa kenyataan tersebut adalah fitnah dan tidak berasas, sekaligus memberi kemenangan kepada Hannah dalam tuntutan sivil yang difailkan pada tahun 2022.

