MELAKA â Seorang guru wanita dan seorang juruelektrik masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan cubaan persetubuhan haram, Februari lalu.
Tertuduh, Muhammad Hairul Ezuan Hamzah dan Nur Fadilah Zainal, masing-masing berusia 31 tahun, disabitkan bersalah oleh Hakim Syarie, Mohd Yunus Mohamad Zin selepas mereka mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan.
Menurut fakta kes, pasangan itu didapati cuba melakukan persetubuhan haram di sebuah rumah di Taman Bukit Emas, Sungai Petai, Alor Gajah pada 28 Februari lalu sekitar jam 9 malam.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM5,000 atau penjara 36 bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Melaka, Atras Mohamad Zin yang memohon hukuman maksimum dikenakan bagi memberi pengajaran kepada masyarakat agar tidak mengulangi kesalahan sama.
Menurut Atras, walaupun terdapat pengakuan berlaku perbuatan zina, mahkamah hanya boleh mensabitkan mereka di bawah kesalahan percubaan persetubuhan haram berdasarkan bidang kuasa yang ada.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 setiap seorang atau enam bulan penjara jika gagal membayar. Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, membayar denda tersebut.
Sebelum ini, guru wanita terbabit pernah menjadi tular dalam media sosial apabila didakwa menjalin hubungan sulit dengan suami orang, sehingga mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen. Susulan itu, Kementerian Pendidikan memaklumkan guru terbabit direhatkan daripada tugas mengajar sementara siasatan dijalankan.

