Tragedi UPSI: PM Anwar arah KPT bantu segera keluarga 15 pelajar UPSI terkorban

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita susulan kemalangan maut yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam insiden membabitkan sebuah bas dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) pagi tadi.

Menurut Anwar, beliau bersama isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail amat terkesan dengan berita menyayat hati itu, dan telah mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menyelaras bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa yang terlibat.

“Saya dan Azizah amat berdukacita menerima perkhabaran nahas tragis melibatkan sebuah bas dan kenderaan lain yang mengorbankan 15 pelajar.“Saya telah arahkan KPT untuk menyelaras bantuan sewajarnya buat keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mendoakan agar semua keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini.

Anwar menegaskan, kejadian sedemikian perlu dijadikan iktibar agar semua pihak lebih berhati-hati ketika berada di jalan raya.

“Musibah menyayat hati sebegini yang sering kali berulang seharusnya menjadi pengajaran buat semua agar sentiasa berhati-hati dan usah terburu-buru mengejar destinasi.

“Nyawa kalian terlalu berharga dan tiada galang ganti,” katanya.

Terdahulu, MYBERITA melaporkan sekurang-kurangnya 15 individu maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dari Jerteh, Terengganu ke kampus di Tanjung Malim, Perak, dengan sebuah MPV Perodua Alza.

Menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan tersebut pada pukul 1.10 pagi, dan tiba di lokasi kejadian pada pukul 2.11 pagi.

Siasatan awal mendapati kemalangan itu melibatkan 48 mangsa, termasuk penumpang bas dan MPV, dengan beberapa mangsa mengalami kecederaan seperti patah tangan, patah kaki serta cedera ringan, sebelum dihantar ke Hospital Gerik untuk rawatan lanjut.

BACA JUGA:  Rundingan dengan Trump penting demi kemerdekaan Palestin

Punca sebenar nahas masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Adam Hafiz
Adam Hafiz
adamhafiz@portalmyberita.com

TRENDING

Tiada unsur jenayah dalam tragedi Pelantar Sepat, punca sebenar masih disiasat – Polis

KUALA TERENGGANU – Insiden kemalangan di pelantar minyak Sepat...

31,600 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah

MAKKAH – Suasana penuh tertib dan berdisiplin mewarnai pergerakan...

Arif Aiman tamatkan zaman bujang, sah bergelar suami kepada Aliah Natasha

JOHOR BAHRU - Pemain sayap Arif Aiman Hanapi kini...

JPJ tangguh sementara urusan tukar hak milik kenderaan ‘online’ mulai 25 Mei

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan...

Linda Jasmine, Ratu tersingkir minggu keenam TTMM2

SHAH ALAM - Perjalanan pasangan Linda Jasmine dan Ratu...