KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial terkenal, Mekyun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee, 28, telah membuat laporan polis berhubung kewujudan sebuah kumpulan Facebook (FB) dikenali sebagai ‘Grup Budak-budak Sekolah Rendah’ yang didakwa menyebarkan gambar remaja perempuan untuk tujuan tidak bermoral.
Mekyun hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman semalam bersama abang sulungnya yang juga seorang peguam, Abe Jay, untuk membuat laporan rasmi berkaitan isu tersebut.
Dalam satu hantaran di Instagram, Mekyun menyatakan kebimbangan terhadap kandungan kumpulan itu yang boleh memberi kesan buruk terhadap akhlak remaja dan kanak-kanak tempatan. Beliau juga memaklumkan bahawa pihak polis kini sedang menjalankan siasatan dan tindakan lanjut akan diambil dalam masa terdekat.
“Sebagai content creator yang bertanggungjawab, Mekyun bersuara untuk mereka yang tak mampu bersuara… untuk semua mangsa… untuk anak-anak yang tak bersalah,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Menurut Mekyun, beliau mengambil tindakan tersebut selepas menerima makluman daripada pengikut Instagramnya bahawa gambarnya sewaktu zaman persekolahan turut dimuat naik dalam kumpulan tersebut tanpa kebenaran.
“Saya sendiri tidak sanggup untuk melihat kandungan kumpulan itu kerana jijik dengan komen-komen lucah dan fantasi tidak bermoral yang ditinggalkan oleh lelaki dewasa terhadap gambar pelajar sekolah,” katanya.
Mekyun, yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jambul, Pulau Pinang, berharap laporan yang dibuat dapat membuka mata masyarakat dan pihak berkuasa tentang bahaya penyalahgunaan media sosial terhadap golongan bawah umur.
Beliau turut menyeru ibu bapa serta orang ramai agar lebih peka dan mengambil langkah berjaga-jaga dalam melindungi anak-anak daripada menjadi mangsa eksploitasi di alam maya.
Pihak berkuasa kini sedang menyiasat kumpulan tersebut dan tindakan tegas dijangka diambil terhadap individu-individu yang terlibat dalam penyebaran kandungan tidak senonoh berkenaan.

